Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'pura pulangkan AS$15.4 juta berkait 1MDB didakwa pindah ke syarikat suami Zeti
Diterbitkan:  Nov 19, 2021 11:24 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

Singapura telah memulangkan ke Malaysia sejumlah AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman - suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

SPRM mendedahkan dalam satu kenyataan hari ini kerajaan telah berjaya mendapatkan dana berkenaan tetapi tidak mendedahkan tarikh dana itu dipulangkan.

Menurut suruhanjaya pencegahan rasuah itu, dana AS$15.4 juta tersebut telah dikaitkan dengan akaun Cutting Edge Industries Ltd, yang dikatakan milik bersama oleh Tawfiq dan Samuel Goh.

Zeti, yang merupakan saksi dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak, sebelum ini berkata dakwaan terhadapnya dan keluarganya adalah palsu dan berniat jahat dan mereka tidak pernah menerima dana 1MDB.

Sebelum ini, dilaporkan Singapura telah memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai transaksi mencurigakan daripada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low kepada sebuah syarikat milik Tawfiq ketika Zeti masih mengetuai bank pusat itu.

Menurut The Edge, pemindahan berjumlah AS$16.22 juta itu berlaku pada 2008 dan 2009 dan telah laporkan kepada BNM pada 2015 dan 2016 apabila Singapura mula menyiasat pemindahan berkaitan 1MDB.

Dana itu dilaporkan diterima oleh Iron Rhapsody Ltd sebuah syarikat yang didakwa pemilik sebenarnya (beneficial owner) ialah Tawfiq dan salah seorang anak lelakinya.

Iron Rhapsody kemudiannya didakwa telah memindahkan dana berkaitan 1MDB kepada Cutting Edge Industries - yang juga dimiliki oleh Tawfiq dan anak lelakinya Abdul Aziz dan Aliff Ayman.

Akuan berkanun yang bocorditandatangani oleh ketiga-tiga mereka pada 2019 menyatakan mereka setuju dengan pihak berkuasa Singapura meminta perintah untuk memindahkan dana daripada Cutting Edge Industries ke akaun seperti yang ditentukan oleh 1MDB - yang pada masa itu cuba memulihkan dana yang diseleweng itu.

The Edge juga mendakwa Tawfiq dipercayai salah seorang rakan kongsi Low dalam Abu Dhabi Malaysia Kuwait Investment Corporation (ADKMIC) ketika ia diasaskan pada 2007.

ADKMIC telah digunakan oleh Low antara 2011 dan 2013 untuk mengubah dana 1MDB yang diselewengkan semasa fasa Good Star.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS