Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Menjelang keputusan rayuan, Najib mohon kemuka bukti baru

Beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan terhadap rayuan Najib Razak terhadap sabitan terhadapnya dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, bekas perdana menteri itu mengemukakan bukti baru untuk menyokong pembelaannya.

Menerusi Notis Usul yang difailkan di Mahkamah Rayuan, Najib memohon untuk mengemukakan keterangan viva voce Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan beberapa lagi saksi lain.

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember ini untuk menyampaikan keputusan terhadap rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan.

Menurut salinan afidavit sokongan Najib terhadap permohonan hari ini, dia menjelaskan langkah untuk mengemukakan bukti baru itu susulan pendedahan SPRM bahawa Singapura telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman - suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Najib mendakwa bukti tersebut tidak ada ketika perbicaran dan ia "relevan secara material" bagi isu yang berkaitan dengan kes itu.

"Saya sesungguhnya percaya keterangan yang kini telah ditemui dan disahkan boleh dipercayai mendedahkan penglibatan Zeti dalam skim-skim Jho Low.

"Saya sesungguhnya percaya peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada tanda merah atau amaran penyelewengan dibangkitkan mengenai perkara yang berkaitan dengan urus niaga dalam akaun saya dari 2011 hingga 2015, walaupun perkara tersebut telah dilaporkan secara peribadi kepada Bank Negara dan Zeti telah menyediakan ruangan untuk Jho Low untuk menjalankan manipulasinya.

"Saya sesungguhnya percaya sekiranya keterangan sedemikian telah dikemukakan semasa perbicaraan, mahkamah akan mencapai pendapat berbeza yang memihak kepada saya dan mengakibatkan wujudnya keraguan munasabah telah ditimbulkan terhadap kes pendakwaan ke atas semua pertuduhan di mahkamah perbicaraan dan mahkamah yang mulia ini (Mahkamah Rayuan)," kata Najib.

Dalam afidavit itu, Najib juga memohon maaf ke atas Mahkamah Rayuan terhadap sebarang kesulitan berhubung waktu permohonan dibuat, dan menjelaskan ia dibuat tanpa berlengah, setelah dia mendapat tahu tentang bukti baru.

"Walaupun tarikh untuk keputusan rayuan telah ditetapkan, dengan mengambil kira perkara-perkara ini, saya dengan rendah hati menyatakan keterangan itu akan mempunyai kesan material ke atas subjek perkara rayuan ini, dan oleh itu perlu diterima dan dikemukakan dalam rayuan-rayuan untuk semua perkara penting tersebut di bawa ke mahkamah yang mulia ini bagi membolehkan keputusan yang adil dicapai.

"Oleh itu, saya dengan penuh rasa hormat menyatakan bahawa memandangkan kebebasan dan mata pencarian saya terancam, dengan mengambil kira perkara yang digariskan di sini, ia perlu untuk keterangan/bukti ini dibenarkan untuk diterima dan dikemukakan dalam rayuan demi kepentingan keadilan," katanya lagi.

Pada 27 November lalu, Najib membuat laporan polis dengan mendakwa ada pihak menyembunyikan bahan bukti membabitkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

Dia berkata tidak dapat mendedahkan nama individu terbabit namun mendapat tahu mereka yang terlibat merupakan individu yang dilantik ke Jabatan Peguam Negara dan SPRM semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Dua hari sebelum itu, Tommy Thomas berkata siasatan SPRM terhadap Zeti dan suaminya tidak sempat diselesaikan sepanjang dia menjadi peguam negara, bermula Jun 2018 hingga Februari 2020.

[Baca berita asal]

Bernama melaporkan Datuk Seri Najib Razak memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan tersebut semalam melalui Tetuan Shafee & Co, hanya seminggu sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuannya yang dijadualkan pada 8 Dis.

Menerusi notis usul yang diperoleh media, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib berkata permohonan itu dibuat olehnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

Najib, 68, mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan berkenaan.

Najib berkata beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura.

“Dinyatakan bahawa, Kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan oleh portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya telah menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low termasuk dana yang dikaitkan dengan 1MDB,” katanya.

Najib mendakwa Tawfiq dan dua anak lelakinya iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz telah menandatangani akuan berkanun yang menyatakan bahawa mereka adalah pemilik benefisial akaun CEIL dan US$15.4 juta telah dihantar dan dipersetujui kepada permohonan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) supaya ia dipindahkan ke akaun 1MDB.

Dana itu dikatakan daripada Iron Rhapsody Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands yang dikendalikan oleh Tawfiq dan seorang anak lelakinya.

Afidavit Najib menyatakan bahawa antara 2008 dan 2009, Iron Rhapsody menerima US$16.219 juta daripada syarikat-syarikat milik Jho Low hasil daripada Nota Jangka Sederhana Islam 1MDB sebanyak RM5 bilion yang dijual pada 2009.

Najib mendakwa bahawa pada 20 Jan 2021, peguamnya telah menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan dan dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsdoy Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta kepunyaan mereka.

“Beberapa e-mel susulan turut dihantar dan dibalas. Akhirnya, pada 24 Mac tahun ini, peguam saya menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguam saya. Di sebalik usaha di atas, saya tidak dapat mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov tahun ini.

"Saya benar-benar percaya bahawa bukti yang telah ditemui dan disahkan secara boleh dipercayai mendedahkan keterlibatan Zeti dalam rancangan Jho Low. Saya percaya bahawa peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada amaran atau isu luar aturan ditimbulkan mengenai perkara berkaitan urus niaga dalam akaun saya antara 2011 dan 2015 dan seterusnya menyediakan cara untuk Jho Low melakukan manipulasinya," kata Najib.

Oleh itu, beliau memohon Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan ini sebelum menyampaikan keputusannya.

Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu.