Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
PKB nafi penduduk flat Sg Baru perlu kosongkan rumah dalam 42 hari

Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) menafikan dakwaan menyatakan pemilik tanah dan flat PKNS Sungai Baru, Kampong Baru Kuala Lumpur perlu mengosongkan rumah dalam tempoh 42 hari.

PKB dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan tempoh 42 hari tersebut adalah jangka masa untuk pemilik terlibat dengan pengambilan tanah untuk mengemukakan bantahan dari tarikh siasatan Pengambilan Tanah ditentukan.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan pemilik kediaman di kawasan itu telah melalui proses rundingan bersama pemaju sejak 2016 yang mana pemilik pertama telah menandatangani perjanjian usaha sama pada 8 Ogos 2016 untuk meneliti dan menimbang tawaran pembangunan semula secara usaha sama oleh pemaju.

Pada masa sama kenyataan itu menyebut pihak pemaju juga sedang dalam proses rundingan bersama pemilik unit flat PKNS Sungai Baru bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pampasan untuk memastikan proses pembangunan semula itu dapat dijalankan dengan adil.

"Kaedah pengambilan tanah adalah satu proses melibatkan perundangan. Proses siasatan pengambilan tanah kedua bagi tujuan untuk memuktamadkan jumlah pampasan bagi lot-lot teres masih belum dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kuala Lumpur.

"Berdasarkan prinsip penentuan pampasan, jumlah pampasan yang mencukupi berdasarkan nilai pasaran perlu dibayar kepada pihak berkepentingan," menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan pampasan pemindahan di Kampung Baru adalah rendah selain rintihan segelintir penduduk yang berkumpul untuk memohon kerajaan campur tangan isu pampasan pengosongan unit.

Pada 2016 pihak pemaju telah dipelawa oleh Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PPHKSB) untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan Sungai Baru, Kampong Baru.

Sehubungan itu, sejumlah 382 unit melibatkan 64 lot teres dan 264 unit flat terlibat dengan projek pembangunan semula tersebut.

-Bernama

Lihat Komen