Pemuda Umno diminta pohon maaf pada Tsu Koon
Pergerakan Pemuda Umno digesa memohon maaf kepada Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kerana mendakwa beliau tidak membantu masyarakat Melayu di Pulau Pinang sehingga mereka terpinggir.
Pergerakan Pemuda Umno digesa memohon maaf kepada Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kerana mendakwa beliau tidak membantu masyarakat Melayu di Pulau Pinang sehingga mereka terpinggir.
Gesaan tersebut dibuat oleh Ketua pembangkang, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Pemuda Umno wajar memohon maaf kerana kini terbukti dakwaan pergerakan itu 'tidak tepat' dan kerajaan negeri sebenarnya sudah mengambil pelbagai langkah untuk membantu masyarakat Melayu di negeri itu.
Phee berkata, ini berdasarkan kepada jawapan bertulis Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah kepada soalan Mohd Hamdan Abdul Rahman (PAS-Permatang Pasir) jelas menggariskan langkah dan tindakan Ketua Menteri serta kerajaan negeri menangani isu Melayu terpinggir itu.
"Daripada jawapan Adun Sungai Bakap (Abdul Rashid), jelas bahawa tiada sesiapapun di kalangan rakyat negeri ini yang diketepikan oleh kerajaan kerana menjadi dasar kerajaan negeri memastikan semua mendapat bantuan sewajarnya," katanya ketika membahaskan usul Belanjawan Negeri 2007.
"Jika jawapan Adun Sungai Bakap itu benar, saya minta pihak yang membuat tuduhan kepada Ketua Menteri supaya meminta maaf kepadanya. Jawapan itu menyebut banyak keistimewaan diberikan kepada Bumiputera tetapi mengapa masih ada tuduhan begini lagi," kata Phee, yang merupakan wakil tunggal DAP dalam DUN.
Ketika beliau berbahas, Dr Koh tiada di tempat duduknya dan apabila ternampak Ketua Menteri berada di dalam Dewan, Phee memaklumkan bahawa beliau telah minta Pemuda Umno memohon maaf kepadanya.
'Kelemahan pengurusan'
Secara bergurau Dr Koh kemudiannya berkata: "Kalau nak sokong saya, marilah duduk di sebelah sini (menyertai penyokong Barisan Nasional)."
Sepanjang perbahasan itu, Phee banyak membangkitkan "kelemahan pengurusan" masyarakat Melayu dan Islam, antaranya soal tanah wakaf serta keupayaan memiliki rumah.
Katanya jawapan Timbalan Ketua Menteri menunjukkan, kebanyakan jawatan dan jawatankuasa penting berada dalam tangan pemimpin Bumiputera, tetapi mungkin mekanisme dan sistem penyampaian yang lemah, menyebabkan matlamat pembangunan tidak sampai kepada masyarakat itu.
Pada satu peringkat, Phee menimbulkan ketegangan di dalam Dewan apabila bertikam lidah dengan Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) yang ingin memberi penjelasan mengenai tanah wakaf sehingga perkataan-perkataan yang kasar mula kedengaran.
Speaker, Datuk Yahaya Abdul Hamid kemudiannya menegur Phee kerana mengambil masa terlalu lama untuk berbahas dan seharusnya memberikan peluang kepada rakan-rakan yang lain untuk mengambil bahagian.
"Yang Berhormat pernah bercakap selama enam jam 48 minit pada sesi persidangan yang lalu, tolong ringkaskan dan fokus kepada ucapan yang ingin disampaikan. Sebagai orang yang berpengalaman, Yang Berhormat tidak perlu bercakap tentang semua perkara, ambil yang penting sahaja," katanya.

