mk-logo
Berita
TMJ: Mahathir 'tak jujur' dalam isu Statut Rom, ICERD
Diterbitkan:  Dec 15, 2021 9:53 PM
Dikemaskini: Dec 16, 2021 2:39 AM

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad didakwa tidak jujur dalam isu Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail berkata hal itu menjadi sebab baginda menentang Statut Rom dan ICERD yang ingin disertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir ketika itu.

"Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum. Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.

"Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD.

"Berkenaan isu Statut Rom dan ICERD ini, Tun Mahathir bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja, tetapi Tun juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.

"Perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu," tulis baginda dalam satu hantaran di Facebooknya.

Tunku Ismail berkata, baginda amat berbesar hati kepada Mahathir kerana turut mengatakan mengenainya dalam buku terkini yang ditulis ahli Parlimen Langkawi itu berjudul, 'Capturing Hope'.

Bagaimanapun, kata TMJ dengan menyerang institusi diraja, Mahathir tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang telah dicipta sendiri olehnya termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.

Cadangan kerajaan untuk meratifikasikan ICERD menerima kecaman dan tekanan hebat daripada Umno, PAS dan orang Melayu.

Ia membawa kepada satu perhimpunan secara besar-besaran di Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi membantah ratifikasi ICERD.

Isu Statut Rom dan ICERD adalah satu daripada dua perjanjian yang menyebabkan PH dikritik.

Dalam pada itu TMJ berkata, satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan.

"Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara.

"'I will see you soon, Tun (Saya jumpa anda nanti, Tun)," katanya lagi.

Gambar fail, bantahan anti-ICERD.

Pada 23 Nov 2018, kerajaan PH mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD selepas beberapa minggu berlakunya demonstrasi.

ICERD yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman, khususnya pemerintahan apartheid di Afrika Selatan ketika itu.

Pun begitu, ramai di Malaysia melihat konvensyen antiapartheid itu sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153) dan Islam, walaupun "pengecualian" boleh dibuat untuk mengekalkan Perkara 153.

Secara keseluruhan, sehingga Nov lalu sebanyak 179 negara di seluruh dunia meratifikasi Icerd berbanding 18 buah yang belum.

Semua negara Islam telah meratifikasi Icerd, kecuali Malaysia dan Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 6 April 2019, kabinet PH memutuskan Malaysia menarik diri daripada perjanjian Statut Rom yang diambil bersempena persidangan diplomatik di Itali pada 1998.

Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.

ADS