MASkargo telah diarah supaya melantik serta merta sebuah syarikat kawalan keselamatan yang lengkap bersenjatapi bagi mengawal Zon Komersil Bebas (FCZ) di kawasan lapangan terbang selama 12 jam dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Ini ekoran kejadian rompakan mikrocip bernilai jutaan ringgit di sebuah gudang di FCZ di Pulau Pinang pada 20 November lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata FCZ di Pulau Pinang sebenarnya adalah di bawah penyeliaan MASKargo dan disebabkan itu syarikat berkenaan juga diminta supaya memasang kamera litar tutup (CCTV) di semua kawasan keluar-masuk FCZ.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ia adalah antara tujuh langkah segera untuk mengatasi masalah kawalan

keselamatan, terutamanya di FCZ di kawasan lapangan terbang.

"Pemeriksaan dan pengawasan ketat oleh pihak keselamatan MASKargo juga dijalankan di semua tempat masuk-keluar kawasan FCZ," katanya kepada Pulau Pinang hari ini.

Chan berkata, polis akan menyediakan kemudahan talian terus antara pihak keselamatan MASKargo dan pejabat Kastam dengan ibu pejabat kontinjen polis dan balai polis daerah yang berhampiran selain daripada membuat rondaan di kawasan kompleks kargo.

Bina pondok bit

Pihak keselamatan MASKargo juga diminta menyerahkan senarai nama pemegang pas keselamatan kepada polis untuk tapisan keselamatan. Polis juga akan membuka pondok bit di kawasan FCZ.

Chan berkata, langkah lain yang diambil bagi jangka panjang ialah untuk melantik pasukan keselamatan MAS sebagai pasukan polis bantuan yang mempunyai kuasa polis dan dilengkapi dengan senjata api.

"Langkah jangka panjang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga dan enam bulan lagi dan satu sistem intercom akan dipasang antara gudang ejen penghantaran dan tempat pemeriksaan di seluruh kawasan FCZ," katanya.

Chan berkata, kerajaan kesal dengan kejadian rompakan mikrocip bernilai jutaan ringgit pada 20 November lalu, dan langkah-langkah keselamatan yang dikuatkuasakan itu, diharap dapat mencegah kejadian serupa.

Dalam kejadian itu, 20 orang perompak menyerbu gudang itu dan menyerang pekerja di situ sebelum mikrocip itu dalam dua kontena.

"Dengan kawalan lebih ketat sekarang, kita tidak akan berkompromi dengan masalah keselamatan," kata Chan.