Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang atau kini dikenali sebagai Roro menawarkan diskaun tambang 50 peratus kepada penunggang motosikal dan basikal bermula 1 Jan hingga 30 Jun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata pemberian diskaun itu bagi meringankan beban masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selain selaras aspirasi Keluarga Malaysia.

"Feri itu antara perkhidmatan pengangkutan awam yang sangat penting di Pulau Pinang. Hampir 600,000 penumpang dalam kalangan pengguna motosikal dan basikal telah menggunakan feri untuk menyeberang ke tanah besar atau bahagian pulau setiap tahun dan pada tahun ini seramai 300,000 penumpang menggunakannya.

"Menerusi diskaun 50 peratus itu, SPPP akan menyumbang sebanyak RM58,333 setiap bulan atau RM350,000 bagi tempoh enam bulan sebagai usaha membantu meringankan beban pengguna motosikal dan basikal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini tambang feri yang ditetapkan kepada penunggang motosikal ialah RM2 manakala RM1.20 bagi basikal dan menerusi pemberian diskaun itu, penunggang motosikal hanya perlu membayar RM1 manakala basikal 60 sen.

Sementara itu, Tan berkata kerajaan Persekutuan hari ini turut menyerahkan RM15 juta kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) manakala RM15 juta lagi akan diserah tahun hadapan bagi pembelian lima feri baharu.

"Kerajaan Persekutuan telah berjanji dan bersetuju menyalurkan peruntukan RM30 juta untuk pembelian feri bagi menggantikan dua feri ikonik sekarang ini, iaitu satu daripadanya beroperasi membawa pengguna motosikal dan basikal manakala sebuah lagi sebagai sokongan.

"Selepas feri baharu beroperasi, dua feri ikonik tersebut akan diserahkan kepada syarikat yang dipilih melalui tender terbuka untuk dijadikan muzium dan restoran terapung," katanya.

Menurut Tan, semua rancangan reformasi feri Pulau Pinang telah dilaksanakan dengan sempurna bagi memberi perkhidmatan yang lebih moden dan selesa demi kesejahteraan rakyat sekali gus merangsang sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

"Perkhidmatan feri Pulau Pinang adalah berlainan daripada segmen-segmen perniagaan PPSB yang lain kerana perkhidmatan feri merupakan tanggungjawab sosial kepada rakyat Pulau Pinang khususnya dan tidak menjurus kepada keuntungan," katanya.

- Bernama