Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak fakta dulu sebelum tuduh menteri - Shahidan

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim menggesa ahli parlimen supaya memeriksa fakta sebelum membuat sebarang tuduhan berhubung pemberimilikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur, yang sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir.

Menjawab kritikan pemimpin PKR Fahmi Fadzi, Shahidan menjelaskan kelulusan bukan dibuat oleh menteri atau datuk bandar.

“Kebanyakan tanah di Wilayah Persekutuan ini adalah tanah dipunyai oleh JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan).

"Kami nak buat bangunan kena pohon, kerajaan persekutuan.

"Kalau kita menuduh menteri (luluskan), saya kata kita semak fakta dulu," katanya kepada pemberita di majlis pemberian bantuan kepada mangsa banjir daripada Lembah Pantai, hari ini.

JKPTG adalah salah satu jabatan dalam organisasi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Fahmi yang juga anggota parlimen Lembah Pantai merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkaitan enam kolam takungan banjir diluluskan untuk pembangunan perumahan dan taman rekreasi di Kuala Lumpur antara Oktober 2015 dan September 2020.

Fahmi justeru menuntut penjelasan Shahidan dan menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor dan Annuar Musa.

Enam kolam tadahan yang dimaksudkan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pula mahu SPRM menyiasat pendedahan itu kerana ia menjejaskan kapasiti kolam takungan dan melumpuhkan operasi sistem tebatan banjir Kuala Lumpur.

Menyentuh gesaan terhadap siasatan, Shahidan meminta pemimpin pembangkang membuat laporan rasmi.

"Tak apa. Mereka nak buat laporan dan juga membuat beberapa tuduhan di luar parlimen, bererti mereka akan hadapi sendiri (kesannya) sebab mereka buat di luar parlimen.

"Ini pandangan mereka, kalau mereka rasa mereka tidak puas hati mereka boleh buat laporan," katanya.

Lihat Komen
ADS