DAP mahu MPKB tarik balik peraturan pakaian seksi
Tindakan kerajaan PAS Kelantan menguatkuasakan peraturan menghukum wanita berpakaian menjolok mata di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan merugikan kerajaan dan rakyat negeri itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Tindakan kerajaan PAS Kelantan menguatkuasakan peraturan menghukum wanita berpakaian menjolok mata di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan merugikan kerajaan dan rakyat negeri itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sambil menyifatkan tindakan MPKB itu suatu yang "kurang bijak", Lim berkata, langkah itu akan merugikan PAS sendiri dari aspek politik dan ekonomi kerana ia akan menyebabkan pengundi yang bersikap sederhana serta pelabur asing menjauhi parti itu dan negeri Kelantan.
Lim mengulas pengumuman MPKB semalam untuk mendenda wanita beragama Islam dan bukan Islam yang berpakaian seksi di pejabat dan tempat makan di kawasan tadbiran MPKB sehingga RM500.
"Tindakan itu akan merugikan PAS sendiri,"kata Lim dalam kenyataannya hari ini.
Menurut beliau lagi, tindakan terbaru MPKB itu akan menjejaskan segala usaha PAS yang selama ini cuba memikat pengundi bukan Melayu dan golongan muda dengan menunjukkan sikap sederhana dalam pelbagai aspek termasuk membenarkan konsert hiburan diadakan di negeri itu.
"Etika berpakaian yang baru itu hanya mempamerkan langkah penjenamaan semula yang dibuat oleh PAS selama ini hanya kosmetik sahaja. Tindakan terbaru ini juga akan menanam semula sentimen takut terhadap PAS di hati orang-orang bukan Islam."
"Dasar pakaian yang turut dikuatkuasakan ke atas wanita bukan Islam ini juga merupakan satu pelanggaran hak orang bukan Islam kerana mereka tidak sepatutnya tertakluk pada undang-undang atau peraturan moral Islam," tambahnya.
Dalam pengumuman semalam, MPKB menyatakan ia tidak akan berlembut lagi dengan wanita yang berpakaian seksi mendedahkan pangkal buah dada, bahagian pusat dan bahagaian atas punggung sesuai dengan inej Kota Bharu sebagai sebuah bandaraya Islam.
Di bawah undang-undnag kecil MPKB, mereka yang melanggar kod etika berpakaian itu boleh didenda sehingga RM500.
Kod berpakaian yang diterima bagi wanita Islam di kawasan MPKB adalah berpakaian labuh menutup aurat dan bertudung, sementara bagi bukan Islam pula, pakaian mestilah menunjukkan kesopanan.
Blaus dan seluar ketat, tidak termasuk dalam kod pakaian yang boleh diterima, walaupun untuk wanita bukan Islam.
Lim berkata, kerajaan PAS bukan sahaja patut menarik balik segera peraturan baru itu, sebaliknya perlu mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan jika mahu menanam elemen positif dalam kehidupan rakyat negeri itu.
"Jika kerajaan PAS tidak berbuat demikain, itu bermakna mereka sendiri gagal menunjukkan contoh yang baik dalam menegakkan demokrasi dan hak asasi manusia,"tambahnya lagi. Berita asal

