Ahli Parlimen kata penggabungan media langkah wajar
Beberapa Ahli Parlimen Umno hari ini berkata, penggabungan kumpulan akhbar Utusan Melayu dengan New Stratis Times Press (NSTP) adalah suatu yang wajar dan tidak akan menjejaskan agenda perjuangan bangsa dan negara.
Beberapa Ahli Parlimen Umno hari ini berkata, penggabungan kumpulan akhbar Utusan Melayu dengan New Stratis Times Press (NSTP) adalah suatu yang wajar dan tidak akan menjejaskan agenda perjuangan bangsa dan negara.
Menurut mereka penggabungan syarikat media perlu dibuat bagi membentuk sebuah entiti perniagaan yang mampu bersaing di peringkat global.
Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Shabbery Cheek (foto kanan) berkata, penggabungan media bukan perkara baru kerana ia berlaku di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat dan Eropah.
Katanya, penggabungan media sangat penting kerana persaingan global memerlukan dana kewangan yang besar.
"Tidak sesuai lagi media kita hanya untuk rakyat Malaysia sedangkan akhbar negara lain berada di pasaran antarabangsa," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penggabungan antara kumpulan Utusan dengan NSTP yang hangat diperkatakan sekarang.
Ahmad Shabbery yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Luar berkata, penggabungan syarikat media juga tidak akan menjejaskan agenda bangsa atau masyarakat.
"Saya juga berpendapat penggabungan bukan bermakna kerajaan mahu mengawal kebebasan media kerana Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mempunyai kuasa untuk berbuat demikian," katanya lagi.
Sementara itu ahli Parlimen Jerlun, Abdul Rahman Ariffin pula berkata, penggabungan jangan terlalu bermotif komersil tetapi perlu disesuaikan dengan agenda yang ditetapkan kerajaan.
"Jangan semata-mata mengejar nilai komersil, unsur-unsur pendidikan dan usaha memperjuangan kepentingan bangsa yang perlu dimainkan oleh akhbar dan media massa terhapus pula," tegas beliau.
Katanya, peranan akhbar sebagai mata dan telinga masyarakat bagi memantau dan menegur kerajaan tidak boleh dipinggirkan.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata, penggabungan kumpulan Utusan dengan NSTP tidak akan memberi kesan besar kepada dasar editorialnya kerana akan terus terletak di bawah kawalan pemerintah.
"Dari segi bisnes pula, penggabungan kumpulan akhbar ini membolehkan ia melangkah jauh ke peringkat antarabangsa seperti yang dibuat oleh gergasi media lain," katanya lagi.

