Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang pegawai penguat kuasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyelewengkan barang bukti berupa wang tunai bernilai RM25 juta.

Shahrum Nizam Baharuddin, 40, tenang ketika membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semasa prosiding terbuka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan jenayah tersebut membabitkan mata wang dolar AS berjumlah AS$6.94 (RM25 juta).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di aras 14 Blok C, Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

Jika sabit kesalahan Shahrum Nizam berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat serta denda, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim, Suzana Hussin, kemudian menetapkan 18 Feb ini untuk sebutan semula kes tersebut. Dia juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pihak pendakwaan hari ini turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shahrum Nizam akan dihadapkan dengan 110 lagi pertuduhan baru membabitkan kes pengubahan wang haram.

Dapat liputan meluas media

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak mendedahkan bila pertuduhan baru itu akan dihadapkan kepada tertuduh.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang pegawai kanan SPRM akan dituduh hari ini berhubung kecurian wang tunai yang dikaitkan dengan satu kes rasuah yang besar. 

Pada Sept lalu, SPRM menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap "seorang bekas ketua jabatan."

Wang tunai yang hilang itu disita SPRM pada 2018 semasa siasatan ke atas bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah membabitkan RM50.4 juta milik kerajaan. SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan dalam perbicaraan pada April tahun ini.

Ekoran itu, dia pergi ke SPRM bagi menuntut wang tunai yang disita dan mendapati sejumlah RM25 juta telah hilang.

Pada bulan sama (Sept) tahun lepas, SPRM mengumumkan yang ia menyelesaikan siasatannya terhadap dakwaan kehilangan wang bukti RM25 juta itu, dan telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Semasa prosiding hari ini, Wan Shaharuddin menggesa hakim tidak membenarkan Shahrum Nizam diikat jamin memandangkan keseriusan kes tersebut.

Katanya, kesalahan tersebut membabitkan wang yang besar dan melibatkan seorang pegawai penguat kuasa agensi kerajaan.

Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah besarnya amaun terlibat dalam kes tersebut boleh dilihat daripada liputan meluas media berhubung kes berkenaan, baik di dalam mahupun di luar negara.

Dia juga mengingatkan mahkamah, Shahrum Nizam merupakan seorang tahanan yang sedang melalui penahanan selama dua tahun di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Nilai dianggap keterlaluan

Mengikut akta berkenaan, pihak berkuasa boleh mengenakan langkah-langkah pencegahan sedemikian untuk mana-mana individu yang dikatakan dikaitkan dengan kegiatan melibatkan dadah.

“Kalau pun sekiranya kerajaan cenderung untuk membenarkan ikat jamin - yang kami bantah - maka kami cadangkan ikat jamin ditetapkan sebanyak RM10 juta dengan tiga penjamin tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, K Ponnusamy menyanggah dengan berhujah mahkamah bukan sahaja mempunyai budi bicara untuk membenarkan ikat jamin untuk kes-kes semasa yang tidak boleh diikat jamin, bahkan jumlah RM10 juta yang dicadangkan juga adalah keterlaluan.

“(Nilai) RM10 juta adalah agak keterlaluan dan akan menafikan tujuan ikat jamin (bagi memastikan tertuduh hadir prosiding mahkamah).

“(Untuk kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diikat jamin) Mahkamah masih mempunyai budi bicara di bawah Seksyen 388 (Kanun Tatacara Jenayah) untuk menentukan sama ada membenarkan ikat jamin (atau tidak),” katanya.

Ponnusamy kemudian meminta agar ikat jamin dibenarkan memandangkan Shahrum Nizam , yang sudah berkahwin dengan dua orang anak, menghidap kanser hidung dan cakera tulang belakang teranjak (slipped disc).

Bagaimanapun, Suzana bersetuju dengan permohonan pendakwaan dengan tidak membenarkan ikat jamin kepada tertuduh. 

Lihat Komen
ADS