Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM akan dihadap ke mahkamah, dakwaan curi RM25 juta

Suspek utama dakwaan mencuri RM25 juta dari peti besi barang bukti SPRM dijangka dihadapkan ke mahkamah berhubung kes itu esok.

Menurut jemputan media oleh SPRM, suruhanjaya pencegahan rasuah itu telah menerima kebenaran untuk mendakwa pegawai itu di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

“Justeru, anda dijemput menghantar seorang wartawan dan jurugambar untuk membuat liputan berita mengenai kes ini,” kata jemputan yang dihantar kepada kumpulan Whatsapp media pada awal hari ini.

Semakan dengan sumber di SPRM mengesahkan kes yang akan dibawa ke mahkamah esok membabitkan kejadian kehilangan RM25 juta.

Bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan mengenai butiran lanjut pertuduhan terhadap suspek.

September lalu, SPRM telah menahan tiga pegawainya selepas bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai - yang dirampas suruhanjaya itu ketika menyiasatnya pada 2018 - telah hilang.

Malaysiakini difahamkan ketiga-tiga suspek itu merupakan sebahagian daripada unit siasatan khas yang mengendalikan kes Hasanah.

Menurut sumber, suspek yang akan didakwa merupakan salah seorang yang ditahan ketika itu dan telah dikenal pasti sebagai suspek utama kes tersebut.

Suspek juga telah disiasat polis berhubung dakwaan mengedar dadah dan kesalahan berkaitan Akta Senjata Api.

Dalam laporan pada bulan September, portal berita ini juga telah mendedahkan suspek utama disifatkan oleh sumber sebagai "bermasalah" tetapi mempunyai hubungan baik dengan orang ternama.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS