Kes Rayappan dirujuk ke mahkamah rayuan Syariah
Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menangguhkan kes semakan perebutan jenazah A.Rayappan antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan keluarganya, untuk dirujuk kepada Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam.
Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menangguhkan kes semakan perebutan jenazah A.Rayappan antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan keluarganya, untuk dirujuk kepada Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam.
Hakim Abu Zaky Mohammad membuat keputusan itu setelah memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah itu tiada kuasa untuk mendengar kes tersebut.
Menurut laporan Bernama, beliau menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh untuk mendengar kes itu di Mahkamah Rayuan Syariah. MAIS diwakili oleh Juraish Kamarudin.
Jumaat lalu, permohonan MAIS untuk mengebumikan jenazah Rayappan atau nama Islamnya Muhammad Rayappan Abdullah mengikut hukum syarak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.
Bagaimanapun, keluarga si mati menghalang pegawai pihak berkuasa agama itu daripada mengambil mayat berkenaan kerana mendakwa Rayappan telah keluar daripada Islam.
Balu fail saman
Dua hari selepas itu, balu Rayappan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Rayappan beragama Kristian dan mengikuti ajaran agama itu sebelum kematiannya pada 29 November lalu.
Lourdes Mary a/p Maria Soosay, 69, turut memohon pengisytiharan bahawa dia adalah isteri yang sah kepada Rayappan yang mati di Hospital Kuala Lumpur pada usia 70 tahun akibat kencing manis dan kesukaran bernafas.
Sementara itu A Sivanesan, peguam yang mewakili keluarga Rayappan berkata anak guamnya tegas dengan keputusan untuk tidak menghadiri sebarang prosiding di Mahkamah Syariah dan hanya akan menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Sivil pada 11 Disember ini.
Sivanesan berkata, dokumen Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan Rayappan adalah seorang kristian.
"Mereka memberitahu saya bahawa mereka hanya akan tunduk kepada keputusan Mahkamah Tinggi sahaja," katanya.
Keluarga Rayappan juga telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
AG diminta campurtangan
Sementara itu, Sivanesan menerima panggilan telefon daripada Pejabat Peguam Negara petang tadi, meminta keluarga tersebut menghadirkan diri di mahkamah syariah.
"Mereka mahu saya membawa anggota keluarga tersebut serta pastor yang mengbaptis Rayappan hadir di mahkamah Syariah," katanya kepada malaysiakini.
"Saya kata tidak. Mereka tidak boleh memaksa keluarga tersebut tunduk kepada undang-undang mereka kerana orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang Syariah," tambahnya.
Dalam satu lagi perkembangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya campurtangan dalam kes tersebut dan jika Rayappan disahkan seorang Kristian, maka dia harus dikebumi mengikut agama tersebut

