mk-logo
Berita
Isu saham Azam: Nak tumbang pokok teguh, kerat akar tunjang - Ulama PAS
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 4:35 PM
Dikemaskini: Jan 10, 2022 4:42 AM

Ulama terkenal PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani tampil mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang berdepan kontroversi pemilikan saham.

"Bagi menumbangkan pokok yang teguh, mestilah dikerat akar tunjangnya, demikianlah apa yang sedang dilakukan terhadap SPRM sehari dua ini," kiasnya.

Menurut Ahmad Dusuki, isu saham Azam ini sengaja ditimbulkan "oleh musuh-musuh kepada SPRM" bagi menghilangkan keyakinan dan kepercayaan terhadap suruhanjaya pencegahan rasuah itu.

"Asasnya ketua kepada badan ini mestilah dinampakkan kotor dan keji.

"Di carilah beberapa isu bagi mengoyahkan kekuatan asas kepada badan ini," katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu juga berkata Azam dan seluruh warga SPRM "tidak perlu akur dan tunduk kepada serangan ini."

"Bahkan (SPRM perlu) semakin bertegas dalam bertindak isu rasuah dan integriti yang sedang merosakkan negara kita ini.

"Pastikan mereka yang melakukan pengkhianatan kepada negara ini di dakwa di mahkamah, dan memberi pengajaran yang besar dalam hidup mereka di dunia sementara ini.

"Mereka sedang menggelupur di saat ini," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, tiga timbalan pesuruhjaya SPRM mengisytiharkan sokongan kepada Azam, menyifatkan serangan yang dihadapi ketua mereka "bermotifkan politik dendam."

Tiga timbalan Azam itu, Ahmad Khusairi Yahaya (operasi), Norazlan Mohd Razali (pencegahan) dan Junipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme) menolak dakwaan terhadap ketua SPRM dan menyifatkan ia serangan terhadap suruhanjaya antirasuah berkenaan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan tuduhan terhadap Azam merupakan cubaan "untuk menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob."

Pun begitu, Pemuda PAS menyarankan agar Azam direhatkan ekoran dakwaan pemilikan sahamnya itu, sehingga siasatan selesai.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata ini bagi “memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.”

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Ekoran itu, Azam pada sidang media 5 Jan berkata dia telah memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham tersebut.

Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir sidang media itu, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Bagaimanapun, semalam enam anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyangkal pendirian yang dizahirkan pengerusi lembaga itu.

Sebaliknya kata mereka, kenyataan Abu Zahar dalam sidang media pada Selasa itu adalah sepenuhnya pendirian peribadi bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan ketua Umno Bahagian Kuala Pilah berkenaan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh semua ahli LPPR kecuali Abu Zahar, iaitu Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memaklumkan pihaknya akan menghubungi Azam selepas dia mengaku adiknya telah menggunakan nama akaun dagangannya untuk membeli saham.

Azam berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada SC.

Ketua pesuruhjaya SPRM juga telah memulakan tindakan undang-undang atas fitnah terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan pegangan sahamnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS