mk-logo
Berita
Suruhanjaya Sekuriti akan 'hubungi' KP SPRM
Diterbitkan:  Jan 6, 2022 4:28 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata pihaknya akan bercakap dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki selepas dia mengaku adiknya telah menggunakan nama akaun dagangannya untuk membeli saham.

"SC akan berhubung dengan pihak terbabit, termasuk Tan Sri Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti berkaitan," katanya pada satu kenyataan.

SC memaklumkan di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (Sicda), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial saham yang didepositkan atau atas nama syarikat yang diberi kuasa oleh penama.

"Selain itu, seksyen 29A Sicda menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa," tambahnya.

Azam berdepan tekanan untuk menjelaskan pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam pada 2015 dan 2016.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang telah mengadakan sidang media khas semalam untuk menjelaskan isu itu.

Abu Zahar berkata saham itu dibeli atas nama Azam oleh adiknya dan mengisytiharkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan. 

Jelasnya, Azam telah memindahkan saham itu kepada adiknya.

Bagaimanapun, sidang media itu menimbulkan persoalan dengan pembangkang menuduh Abu Zahar bertindak di luar bidang kuasanya.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata pengakuan itu mungkin boleh menjadi pelanggaran terhadap Sicda.

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa sebelum ini turut menegaskan Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002 melarang penjawat awam memiliki saham melebihi RM100,000.

Lihat Komen
ADS