Kes Rayappan: Karpal anggap kjaan hina mahkamah
Pengerusi DAP Karpal Singh menyifatkan tindakan kerajaan meminta Peguam Negara menentukan status agama A Rayappan sebagai menghina mahkamah.
Pengerusi DAP Karpal Singh menyifatkan tindakan kerajaan meminta Peguam Negara menentukan status agama A Rayappan sebagai menghina mahkamah.
Katanya, ini kerana kes tersebut melibatkan lelaki yang meninggal dunia dalam keadaan pegangan agamanya tidak dapat dipastikan itu, masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
"Tidak ada sesiapapun yang boleh atau dibenarkan mengganggu proses tersebut. Biarlah mahkamah, tidak kira mahkamah syariah atau sivil, menentukannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Menurut laporan Bernama, dalam mesyuaratnya semalam, kabinet mahu supaya status agama Rayappan, 70, ditentukan agar keputusan dapat dibuat sama ada mayatnya patut dikebumikan secara Islam atau sebaliknya, dan bersetuju menyerahkan perkara itu kepada Peguam Negara.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam menangguhkan kes semakan perebutan jenazah Rayappan antara Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan keluarganya, untuk dirujuk kepada Mahkamah Rayuan Syariah di Shah Alam.
Mahkamah Tinggi
Jumaat lalu, permohonan Mais untuk mengebumikan jenazah Rayappan atau nama Islamnya Muhammad Rayappan Abdullah mengikut hukum syarak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu.
Bagaimanapun, keluarga si mati menghalang pegawai pihak berkuasa agama daripada mengambil mayat berkenaan kerana mendakwa Rayappan telah keluar daripada Islam.
Dua hari selepas itu, balu Rayappan, Lourdes Mary Maria Sossay, 69, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan perisytiharan bahawa Rayappan beragama Kristian dan mengikuti ajaran agama itu sebelum kematiannya pada 29 November lalu.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa dia adalah isteri yang sah kepada Rayappan yang mati di Hospital Kuala Lumpur akibat kencing manis dan kesukaran bernafas.

