Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harimau di Kelantan: Bukan pembalakan puncanya, kata TMB

Kerajaan Kelantan berpendapat tidak wajar wujud tohmahan yang mendakwa aktiviti pembalakan menjadi punca haiwan liar seumpama harimau kini berkeliaran di kawasan petempatan seperti yang berlaku di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini pernah berlaku kes harimau muncul seperti sekarang.

Katanya kejadian itu tidak melibatkan kawasan pembalakan.

"Hendak siasat dan cari sebab (mengapa harimau keluar) itu bagus tetapi jangan cepat buat kesimpulan, seolah-olah sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar.

"Itu tidak betul," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan sekumpulan Orang Asli yang mewakili suku Temiar menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri untuk menggesa kerajaan bertindak tegas menghentikan aktiviti pembalakan yang terus berleluasa di Gua Musang, Kelantan.

Menurut mereka, serangan maut oleh seekor harimau dan kelibat mamalia berkenaan yang dikesan berhampiran perkampungan Orang Asli di daerah itu adalah disebakan aktiviti pembalakan yang menggangu habitat haiwan liar berkenaan. 

Malaysiakini juga melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan melakukan pemantauan rapi terhadap pergerakan beberapa ekor harimau yang dibimbangi mengancam penduduk selepas haiwan itu dilihat muncul di tepi Sek Keb Balar

Mohd Amar berkata, siasatan dan kajian boleh saja dilakukan oleh pihak yang berkenaan dan langkah-langkah penangkapan dilakukan agensi yang terlibat bagi memastikan keadaan kembali terkawal.

"Agensi yang terlibat juga ada memaklumkan kepada kami, harimau yang sudah tua dan tidak mampu mengejar binatang lain akan mencari inisiatif makanan yang lebih mudah tanpa berburu.

"Kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan pembangunan menjadi antara faktor harimau datang ke kampung namun belum pasti, sebab baru satu kes.

"Kalau kes banyak mungkin betul. Apa pun, kita tunggu maklumat terkini daripada agensi yang terlibat," katanya yang juga naib presiden PAS.

Lihat Komen
ADS