Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Peguam ancam saman kakitangan klinik lepas anak disuntik dos kedua vaksin

Peguam Asiah Abdul Jalil yang juga ibu kepada sepuluh anak mengancam untuk menyaman kakitangan Klinik Kesihatan Balok yang menyuntik anak lelakinya berusia 13 tahun dengan dos kedua vaksin Covid-19.

Katanya, suntikan itu diberikan selepas suaminya membawa anak mereka ke klinik berkenaan, walaupun dia sebagai ibu membantah vaksinasi Covid-19 diberikan terhadap semua anaknya.

Asiah sebelum ini membuat laporan polis dengan menamakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, serta surat bertarikh 9 Jan kepada Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Pahang dan Pejabat Kesihatan Kuantan.

Asiah menerusi surat rasmi firma guamannya yang dikongsi di akaun Facebooknya, menuntut pentadbir klinik itu mendedahkan nama kakitangan yang bertanggungjawab melakukan suntikan vaksin kepada anak kelimanya.

"Saya akan failkan saman terhadap kakitangan Klinik Kesihatan Balok, Kuantan yang suntik vaksin Covid-19 kepada anak saya.

"Sebaik sahaja dapat nama kakitangan yang suntik tu. Dia mesti dinamakan sebagai tortfeasor (individu membuat gangguan awam)," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam surat itu, Asiah berkata dia merizabkan hak untuk memfailkan permohonan pra tindakan bagi mendapatkan perintah penzahiran sekiranya permintaannya untuk mendapatkan identiti kakitangan berkenaan ditolak.

Selain itu, Asiah turut menamakan suaminya Mohd Hatta Saadon, pengarah kesihatan Pahang Dr Bahari Che Awang Ngah, Khairy dan Noor Hisham sebagai antara individu yang mungkin dinamakan sebagai defendan dalam samannya.

'Persetujuan berat sebelah'

Menjelaskan kejadian itu, Asiah berkata suaminya membawa anak lelaki mereka ke Klinik Kesihatan Balok pada jam 8.30 pagi tadi untuk mendapatkan vaksin dos kedua.

"Dalam keadaan sekiranya pihak tuan ditunjukkan borang persetujuan (consent form) untuk vaksinasi Covid-19 yang dilengkapkan oleh suami saya, iaitu bapa kandung kepada anak-anak saya, Mohd Hatta Saadon, saya menegaskan bahawa borang persetujuan tersebut adalah berat sebelah pihak dan tidak meliputi persetujuan daripada saya sebagai ibu kandung," katanya.

Empat anak sulung Asiah berusia antara 14 hingga 19 tahun telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan layak mendapat dos penggalak, manakala anak kelimanya, berusia 13 tahun, ketika itu sedang menunggu dos kedua.

Anak keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan Asiah berumur antara lima dan 11 tahun, manakala anak bongsunya berusia dua tahun.

Laporan polis dibuat Asiah pada 7 Jan lalu berhubung pengumuman kerajaan mengenai vaksinasi Covid-19 terhadap kanak-kanak, di tengah-tengah kebimbangan baru mengenai penularan varian Omicron.

Pada 6 Jan, Noor Hisham berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin formulasi baru Covid-19 jenis Pfizer untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Formulasi itu menggunakan 10 mikrogram bahan aktif vaksin setiap dos, berbanding 30 mikrogram setiap dos yang diluluskan sebelum ini untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Pemberian vaksin Covid-19 keluaran Pfizer BioNTech kepada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun akan bermula pada tahun ini.

Lihat Komen