Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rujuk laporan peguam terhadap Noor Hisham, KJ pada KKM

Polis Kuantan akan merujuk laporan yang dibuat peguam dan ibu kepada sepuluh anak, Asiah Abdul Jalil terhadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kepada Kementerian Kesihatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Asiah yang dibuat semalam.

Menurut Mohamad Noor, polis akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Kesihatan.

“Tiada kesalahan (dilakukan) di bawah PDRM, (jadi) kita akan rujuk (laporan itu) kepada Kementerian Kesihatan.

"Itu haknya untuk membuat laporan polis," kata Mohamad Noor kepada Malaysiakini.

Perkembangan itu turut dikongsi Asiah di Facebook selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

"Polis sangat profesional. Perlu ambil keterangan saya sebagai pengadu, hanya untuk formaliti. Terima kasih daun keladi.

"Laporan polis dibuat oleh saya untuk tindakan saman sivil. Ini bukan kes jenayah. Tiada kertas siasatan perlu dibuka.

"Polis maklumkan, akan forward laporan polis saya kepada KKM. Saya supply (sediakan) semua dokumen dengan senang hati," katanya.

Asiah semalam berkata laporannya telah dibuat di balai polis daerah Kuantan bagi merekodkan bantahannya supaya dos penggalak diberikan kepada anak-anaknya yang berumur antara 12 dan 19 tahun, serta dos pertama untuk mereka yang berumur antara lima dan 11 tahun.

Asiah berkata dia juga akan mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang di bawah "tort of misfeasance in public office" terhadap Khairy dan Noor Hisham sebaik sahaja unsur-unsur kerugian, ganti rugi atau pencabulan hak telah ditetapkan.

Kelulusan bersyarat

Menurut laporan polisnya yang dilihat Malaysiakini, empat anak sulung Asiah berusia 14, 16, 17 dan 19 telah menyelesaikan dua dos vaksin Covid-19, manakala anak kelimanya, berusia 13 tahun, sedang menunggu dos kedua.

Anak keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan Asiah berumur 11, sembilan, tujuh dan lima tahun, manakala anak bongsunya berusia dua tahun.

Susulan laporannya, Asiah berkata dia dihubungi pegawai penyiasat IPD Kuantan yang meminta untuk merekodkan kenyataannya mengenai bantahannya terhadap vaksin diberikan kepada kanak-kanak.

Laporannya susulan pengumuman Noor Hisham pada Khamis bahawa Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memberikan kelulusan bersyarat versi kepekatan rendah vaksin Covid-19 Pfizer untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun

Khairy dalam pada itu berkata timbalannya Dr Noor Azmi Ghazali - yang sebelum ini mengetuai program vaksinasi untuk remaja - juga akan mengetuai pelancaran vaksin untuk kanak-kanak.

Lihat Komen
ADS