mk-logo
Berita
K'jaan tunggu tarikh baru pendengaran isu minyak sawit bersama EU - Zuraida
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Kerajaan masih menunggu tarikh baru bagi sesi pendengaran berkaitan isu diskriminasi minyak sawit Malaysia bersama Kesatuan Eropah (EU) yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata kementerian telah bersedia untuk membentangkan fakta berkaitan minyak sawit Malaysia yang mungkin tidak diberi perhatian oleh pihak EU dalam membuat pelbagai dakwaan terhadap minyak sawit negara.

“Kita akan jelaskan satu per satu tuduhan mereka terhadap minyak sawit Malaysia. Kita akan berikan fakta dan contoh apakah polisi dan peraturan yang ada di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘Mari Kenali Sawit’ kepada pelajar sekolah di kawasan Ampang, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau menegaskan kerajaan akan mendapatkan justifikasi sebenar berkaitan dakwaan terhadap minyak sawit Malaysia, yang dianggap sebagai tidak berasas dan hanya berdasarkan satu atau dua aduan.

“Mereka tidak beri peluang untuk kita membuat penjelasan terhadap tuduhan ini, dan perkara ini yang akan kita bawa kepada sesi pendengaran nanti,” katanya.

Sesi pendengaran pertikaian dakwaan diskriminasi minyak sawit oleh kalangan negara EU yang dijadualkan diadakan bulan ini telah ditangguhkan sehingga Mac depan.

Malaysia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian 600 (Dispute Settlement 600) pada tahun lepas.

Pihak Jabatan Peguam Negara akan menyelaras bersama WTO dan memaklumkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhubung tarikh baru yang akan ditetapkan bagi sesi itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS