Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kabinetnya serta semua pihak yang terbabit dalam usaha menyelesaikan kes A Rayappan.

Pengerusi CFM, Bishop Paul Tan Chee Ing berkata, pihaknya gembira dengan sikap rasional yang wujud sehingga keluarga mangsa tidak terus mengalami trauma dalam episod perebutan mayat Rayappan.

Jumaat lalu, permohonan Mais untuk mengebumikan Rayappan atau nama Islamnya Muhammad Rayappan Abdullah mengikut hukum syarak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagaimanapun, keluarga si mati menghalang pegawai pihak berkuasa agama itu daripada mengambil mayat berkenaan kerana mendakwa Rayappan telahpun keluar daripada Islam.

Dua hari selepas itu, balu Rayappan memfailkan saman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa Rayappan beragama Kristian dan mengikuti ajaran agama itu sebelum kematiannya pada 29 November lalu.

Lourdes Mary a/p Maria Soosay, 69, turut memohon perisytiharan bahawa dia adalah isteri yang sah kepada Rayappan yang mati di Hospital Kuala Lumpur pada usia 70 tahun akibat kencing manis dan kesukaran bernafas.

Mekanisme telus

Bagaimanapun, mayat Rayappan telah diserahkan kepada keluarganya semalam selepas Mais menarik balik tuntutannya itu.

Menurut Bishop Paul, kini keluarga Rayappan boleh menyempurnakan pengkebumiannya mengikut agama Kristian.

"CFM ingin menyatakan rasa simpati serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Rayappan," kata dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran insiden tersebut, beliau berharap kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari satu mekanisme yang telus untuk menyelesaikan isu-isu seumpama itu melalui dialog.

Beliau juga berharap kerajaan akan melindungi hak rakyatnya menganuti atau kembali semula kepada agama mereka tanpa gangguan daripada pihak luar.