Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful: Tak pelik akan ada lagi PRN dicetuskan 'kluster mahkamah
Diterbitkan:  Jan 22, 2022 1:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berpendapat keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicetuskan oleh "kluster mahkamah" dalam Umno.

Jelas Wan Saiful dia tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi pilihan raya di negeri lain selepas PRN Johor.

"Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa.

"Saya tidak pelik jika Johor akan diikuti oleh negeri lain pula. Begitulah realiti orang terdesak yang rakus kuasa dan takut penjara," kata Wan Saiful dalam kenyataan, hari ini.

Johor akan berdepan dengan pilihan raya negeri selepas Menteri Besar Hasni Mohamad - daripada Umno - mendapat perkenan Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Wan Saiful berkata demikian merujuk kepada dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa pemimpin Umno memintanya campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Umno dan Bersatu berada dalam kerajaan negeri, walaupun kedua-dua parti itu berkemungkinan besar akan bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya negeri akan datang.

Nada sama turut disuarakan Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong yang menyalahkan kumpulan diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi atas keputusan mengadakan pilihan raya mengejut itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Chin Tong berkata PRN Johor merupakan usaha yang dicetuskan kumpulan Zahid untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Pilihan raya negeri Johor tidak ada kena mengena dengan keperluan rakyat, ia adalah hasil perebutan kuasa dalam Umno.

"Secara mudahnya, pilihan raya mengejut di Johor ini hanyalah senjata pertama untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum mengejut, dan hanya strategi untuk Najib (Abdul Razak) dan Zahid melarikan diri dari penjara," katanya.

Zahid sebelum ini dibicarakan atas dua kes rasuah di mahkamah.

Mahkamah akan memutuskan sama ada dia perlu membela diri dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi, Isnin ini.

Sementara itu, Najib sedang dibicarakan atas skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan bulan lalu mengekalkan keputusan bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri itu dalam kes membabitkan SRC.

Menteri Besar Johor, Hasni Mohamad hari ini berkata PRN Johor perlu diadakan kerana kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan hanya bergantung kepada satu majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Lihat Komen