Umur persaraan kakitangan kerajaan kekal pada usia 56 tahun dan skim pencen sektor awam akan diganti dengan Skim Faedah Persaraan Baru, kata

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Abdul Rahman Suliman.

Katanya, cadangan melanjutkan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 60 atau 65 tahun bagi kakitangan sektor awam telah ditolak kerana ia akan membebankan kerajaan dari segi kewangan.

"Kerajaan melihat kemampuan kewangan dan kepentingan perkhidmatan kerana tahap kualiti pegawai dan kakitangan kerajaan yang lebih penting," katanya menjawab soalan Datuk Jacob Dungau Sagan (BN-Baram) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sehingga November lepas, bilangan pesara dan penerima pencen ialah seramai 530,000 orang dan peruntukan pencen sebanyak RM5.3 bilion setahun, yang secara puratanya meningkat sebanyak 15 peratus setahun.

Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menggantikan Skim Pencen sektor awam sekarang kepada satu Skim Faedah Persaraan Baru untuk dilaksanakan kepada anggota baru.

"Tujuannya ialah untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan berhubung pemberian kadar faedah persaraan kepada anggota kerajaan, di samping memberi satu pakej persaraan yang lebih lumayan kepada anggota baru," katanya.

Menurut laporan Bernama, skim yang dilaksanakan melalui Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan bukannya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu katanya, menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggotanya apabila tamat perkhidmatan kelak.

"Apabila mereka bersara, mereka bukan sahaja mendapat pencen, malah ganjaran lain seperti faedah kesihatan dan perubatan termasuk tanggungan mereka di samping pencen yang dikira secara keseluruhan bagi tempoh perkhidmatannya," katanya.