Peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya Shaariibuu melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan lanjutan jaminan terhadap penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda.

Bayar Budragchaa berkata, dalam kes yang serupa di Mongolia, jaminan seperti itu tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya mahkamah mempunyai sebab-sebab tertentu untuk membenarkan jaminan itu dilanjutkan.

Menurut laporan Bernama, mahkamah tinggi dalam prosiding hari ini melanjutkan jaminan bon terhadap Abdul Razak, 46, tetapi dengan syarat baru di mana dia dikehendaki mendepositkan RM1 juta atau sekuriti yang bernilai setara dengannya.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, membunuh Altantuya, yang serpihan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam di sini pada 5 November lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, antara jam 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Oktober lalu.

P ada 23 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Abdul Razak dibebaskan dengan jaminan bon RM1 juta. Bagaimanapun, ia merupakan satu jaminan mulut yang tidak memerlukan cagaran tunai dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Tulang Altantuya

Budragchaa berkata, keutamaan keluarga Altantuya sekarang ialah untuk mendapatkan semula tulang Altantuya yang kini masih berada dalam simpanan polis.

Katanya, permintaan itu telah disuarakan kepada peguam pemerhati keluarga mangsa di Malaysia, Karpal Singh, yang telah memberikan jaminan untuk menunaikan permintaan itu.

Budragchaa berkata, sekiranya tulang itu diperoleh, ia akan dibawa pulang ke Ulan Bator untuk dibakar mengikut amalan masyarakat Mongolia.

Mengenai dua pucuk surat yang dihantar oleh kerajaan Mongolia kepada kerajaan Malaysia semalam, Budragchaa berkata ianya bertujuan menyampaikan hasrat keluarga Altantuya dan kerajaan Mongolia agar kes itu berjalan tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak.

Di Putrajaya semalam, Setiausaha Khas Kementerian Luar Mongolia, Aruinbold Yadma menyerahkan sepucuk surat daripada kerajaan Mongolia kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Penasihat Khas Hal Ehwal Luar Tan Sri Abdul Kadir Mohammad.

Sepucuk surat lagi dihantar oleh Parlimen Mongolia menerusi Ariunbold kepada Pentadbir Parlimen Malaysia, Kamaruddin Mohd Baria.

Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi berkata keluarga Altantuya berharap untuk mengikuti perbicaraan kes itu kelak.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan ketika diminta mengulas mengenai lanjutan jaminan terhadap suaminya, enggan memberi sebarang komen.