DAP cadangkan kjaan beli lebuhraya bertol di Lembah Kelang
Sambil mengecam kenaikan kadar tol mulai 1 Januari ini, DAP mencadangkan supaya kerajaan membeli kesemua lima lebuhraya bertol di Lembah Kelang bagi mengelak kekerapan kenaikan tol yang membebankan pengguna.
Sambil mengecam kenaikan kadar tol mulai 1 Januari ini, DAP mencadangkan supaya kerajaan membeli kesemua lima lebuhraya bertol di Lembah Kelang bagi mengelak kekerapan kenaikan tol yang membebankan pengguna.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata adalah lebih menjimatkan jika kerajaan membeli balik semua lebuhraya, dengan membayar keseluruhan kos pembinaannya sebanyak RM4,125 juta.
Parti itu menyifatkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya di Lembah Kelang itu antara 20 hingga 60 peratus sebagai 'satu rompakan di siang hari' yang menjual hak pengguna dan rakyat Malaysia kepada syarikat-syarikat besar, sedangkan kos pembinaannya tidak menjustifikasi kadar tol yang dikenakan (lihat carta).
Oleh itu, bagi mengelak kekerapan kenaikan tol di Lembah Kelang, maka DAP mencadangkan kerajaan membeli kesemua lima lebuhraya terbabit, dengan membayar balik kos pembinaannya sebanyak RM4,125 juta.
Kos pembinaan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ialah RM 1.42 bilion, Lebuhraya Kesas (RM1.3 bilion), Lebuhraya Cheras-Kajang (RM336 juta), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (RM568 juta) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (RM501 juta).
Manakala tempoh konsesi bagi LDP ialah 1996-2030, Lebuhraya Kesas (1993-2024), Lebuhraya Cheras-Kajang (1995-2026), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (1994-2032) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (2000-2035).
Elak kerugian
Menurut Lim, langkah membeli lebuhraya tersebut bukan sahaja menjimatkan wang kerajaan daripada perlu membayar subsidi, mengelak kerugian di pihak operator tol, tetapi juga mengurangkan beban pengguna ekoran kenaikan kadar tol yang tidak munasabah.
Semalam, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu dilaporkan berkata, kadar tol tersebut sebenarnya lebih tinggi sekiranya kerajaan tidak membayar pampasan sebanyak RM2.589 bilion kepada syarikat konsesi.
Menurut menteri berkenaan, kerajaan telah membayar RM479.7 juta pampasan bayaran tol dalam tempoh enam tahun yang lalu bagi mengelak syarikat konsesi mengenakan kadar tol yang lebih tinggi.
Dalam lain perkataan, tegas Lim, kerajaan perlu membayar sejumlah RM3,060 juta bagi memastikan kadar tol tidak tinggi menjelang tempoh kenaikan tol seterusnya bagi kelima-lima lebuhraya terbabit pada tahun 2011-2013.
Memandangkan kerajaan perlu membayar lebih banyak pampasan dalam tempoh lima hingga enam tahun menjelang 2011-2013, maka Lim berkata, adalah lebih menjimatkan jika kerajaan membeli lebuhraya berkenaan, daripada membelanjakan RM2,569 juga dan berbilion ringgit lagi apabila tiba tempoh kenaikan tol seterusnya.
Jika kerajaan berbuat demikian, tegasnya, ia bukan sahaja menyelamatkan syarikat konsesi lebuhraya itu daripada muflis, tetapi juga menjimatkan berbilion ringgit wang kerajaan dan pada masa yang sama, memastikan kadar tol yang munasabah dikenakan.

