Cadangan itu mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sewaktu melancar operasi meroboh rumah setinggan di Kampung Berembang, akan dibincangkan oleh Suhakam Isnin ini.

Ketika dihubungi hari ini, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam menjelaskan, cadangan tersebut dibuat oleh badan hak asasi manusia, Suaram dan Jerit semalam ketika mereka menyerahkan memorandum berhubung insiden tersebut.

"Pesuruhjaya Suhakam akan mencadangkan kepada suruhanajaya ini supaya satu siasatan awam diadakan berhubung dakwaan tindakan melampau oleh MPAJ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta menjelaskan mengenai laporan sebelum ini yang menyatakan Suhakam sudahpun membuat keputusan untuk menjalankan siasatan awam tersebut.

Anggota penguatkuasa MPAJ dengan bantuan anggota Rela, polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), telah merobohkan rumah di kawasan setinggan itu pada 17, 20 serta 30 November lalu.

Dalam insiden tersebut, MPAJ turut merobohkan sebuah surau serta kemah sementara yang didirikan oleh penduduk terbabit sehingga mencetuskan pergaduhan, mengakibatkan ramai tercedera dan 22 orang ditahan.

Perlukan bukti

Menurut Siva, Suhakam masih menunggu laporan daripada MPAJ mengenai insiden tersebut, tetapi meminta pihak lain yang terbabit supaya tampil mengemukakan bukti.

"Kami memerlukan bukti seperti rakaman video dan nama mereka yang ditahan sewaktu operasi tersebut bagi menentukan sama ada berlaku kekerasan," kata Siva.

Kampung Berembang yang terletak tidak sampai 10km dari Menara Berkembar Petronas didiami oleh 470 penduduk sejak 30 tahun yang lalu.

Sehingga kini, penduduk terbabit masih tinggal di kemah sementara yang dibina di kawasan kampung berkenaan.