DAP: Datuk bandar baru KL mesti ketepikan tekanan politik
DAP berharap Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru, Datuk Ahmad Hakim Borhan memiliki minda global dan mengenepikan sebarang tekanan parti politik bagi memajukan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bercahaya tropikal bertaraf dunia.
DAP berharap Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru, Datuk Ahmad Hakim Borhan memiliki minda global dan mengenepikan sebarang tekanan parti politik bagi memajukan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bercahaya tropikal bertaraf dunia.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, yang juga Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata Abdul Hakim mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mencapai matlamat tersebut..
Perlantikan Ahmad Hakim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasan Rafique kelmarin, bagi menggantikan Datuk Ruslin Hassan untuk tempoh dua tahun.
"Sebaik sahaja mengambil alih jawatan tersebut, beliau mesti mengemukakan pelan tempatan KL20, secepat mungkin. Pelan struktur itu diumumkan lebih setahun yang lalu, untuk menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan kelmarin..
Untuk menjaya matlamat tersebut, katanya, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru mesti mengenepikan sebarang tekanan parti politik dan menjalankan tugasnya demi kebaikkan penduduk bandaraya.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang berusaha untuk mencapai setinggan sifar bagi bandaraya ini. Tarikhnya telah tertangguh beberapa kali.
"Tahun 2007 adalah tahun terakhir untuk mencapai sasaran tersebut. Abdul Hakim mestilah bersikap adil kepada semua pihak apabila melaksanakan dasar tersebut," kata Dr Tan lagi.
Pembangunan perumahan
Di samping itu, beliau juga menggesa Datuk Bandar yang baru itu supaya menguatkuasa undang-undang Pembangunan Perumahan dan rang undang-undang yang berkaitan dengannya yang diluluskan di Dewan Rakyat tiga hari yang lalu.
"Datuk Bandar mesti menguatkuasakan undang-undang mengenai pembangunan perumahan itu, bangunan kediaman yang tinggi dan hakmilik strata, konsisten dengan hasrat rakyat," katanya.
Dr Tan menegaskan, ia hendaklah dijadikan keutamaan walaupun akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan permasalahan perumahan yang telah bertimbun sejak beberapa tahun yang lalu.,
Selain itu, beliau berharap lebih banyak televisyen pemantauan CCTV dipasang untuk memantau lalulintas dan aspek keselamatan.
"Kita juga perlu mengambil banyak langkah seperti membina persimpangan bertingkat seperti yang dicadangkan di Batu 7 Kepong untuk menangani masalah kesesakan lalulintas. Begitu juga dengan langkah segera untuk menangi masalah peningkatan kegiatan jenayah," katanya.
Dr Tan turut menegaskan mengenai pentingnya memulihara kawasan hijau di bandaraya serta menyelenggara secara berkesan semua kawasan letak kereta bagi mengelakkan pencerobohan.
"Pihak DBKL perlu mengambil kira banyak lagi aspek. Apa yang disarankan di atas hanya merupakan sebahagian daripadanya sahaja. Kita akan terus menyuarakan pandangan dan cadangan kita," katanya.
Dr Tan juga berharap Ruslin yang menurutnya, telah bekerja keras untuk membawa perubahan kepada bandaraya, akan terus menyumbang untuk kebaikan masyarakat Kuala Lumpur.

