Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merekodkan sejumlah 5,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri itu yang mendaftar menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat kelmarin.

Jumlah itu hanya 4.34 peratus daripada keseluruhan kanak-kanak yang layak menerima vaksin iaitu lebih 115,000 orang.

Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata pihaknya perlu bekerja kuat untuk meyakinkan ibu bapa tentang pentingnya pengambilan suntikan vaksin dalam usaha mencegah Covid-19.

"Daripada jumlah lebih 115,000 kanak-kanak yang layak menerima vaksin, kita mensasarkan 50 peratus kanak-kanak menerima vaksin jenis Pfizer yang bermula hari ini.

"Setakat kelmarin kita menerima maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), jumlah kanak-kanak yang bersetuju untuk menerima vaksin hanya 5,000 orang sahaja.

"Kebanyakan ibu bapa juga dikatakan belum menyerahkan borang pendaftaran suntikan vaksin kepada pihak sekolah dan kita berharap lebih ramai menyatakan persetujuan selepas ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) Peringkat Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan itu juga Zaini berkata, pihaknya percaya kebanyakan ibu bapa kini mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membenarkan anak mereka menerima vaksin.

Jelasnya, bagi suntikan PICKids jabatan itu menyediakan lebih 400 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Kelantan termasuk sekolah swasta.

"Tetapi jumlah PPV akan berubah-ubah bergantung kepada sambutan terhadap PICKids. 

"Bagi ibu bapa yang pada awalnya tidak bersetuju, namun mengubah keputusan selepas itu, mereka boleh 'walk-in' ke mana-mana PPV untuk menerima vaksin," katanya.