Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 21 kematian baru akibat Covid-19 semalam (16 Feb), menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 32,180 orang.
Sabah merekodkan sembilan kematian diikuti Johor (4), Perak (4), Kedah (2), Kelantan (1) dan Negeri Sembilan (1).
Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Purata 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 16 kematian dalam tujuh hari, yang menunjukkan penurunan.
Setakat ini, sebanyak 577 kematian akibat Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.
Sebanyak 780 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada Januari 2022, 1,174 pada Disember 2021, 1,612 pada November 2021 dan 2,704 pada Oktober 2021.
Setakat semalam, terdapat 202,884 kes aktif Covid-19 dilaporkan. Ini adalah peningkatan sebanyak 114.7 peratus berbanding 94,515 kes aktif seminggu lalu.
Berbanding tempoh 30 hari lalu, jumlah kes aktif meningkat 399.5 peratus daripada 40,618 kes.
