Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 11:43 AM
Dikemaskini: 8:12 AM

Pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah dan dikenakan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan media memaklumkan Ebit, 38, akan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Ia berhubung menghantar gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp.

“Kesemua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara bulan Mac 2021 hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Abd Jalil juga memohon kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan dengan lancar.

Awal hari ini, Harian Metro melaporkan, Ebit, tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, di Sabah, kira-kira jam 9 pagi tadi dengan menaiki Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu 

Perkarangan Pejabat Daerah Tenom juga turut dikawal polis sejak awal pagi tadi.

Ebit dikatakan berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ebit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Tenom hari ini, atas 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual.

Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Nur Asyraf kemudian menetapkan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin manakala 20 April ini sebagai sebutan semula kes.

Ebit membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Sementara itu, Abdul Jalil pada sidang media di Tenom hari ini berkata pada 7 Ogos tahun lepas, pihak polis menerima laporan berkenaan pendakwah itu dan sejumlah tiga laporan atas kesalahan tersebut telah diterima.

Dia berkata siasatan telah dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tuduhan fitnah yang turut melibatkan pengadu di Sabah serta Semenanjung.

“Jika orang ramai mempunyai maklumat luar kes ini, sila tampil ke hadapan bantu pihak polis untuk siasatan yang lain, kalau ada kes kita jalankan siasatan menyeluruh dan perkara yang sama akan dirujuk kepada pendakwa raya,” katanya

Lihat Komen
ADS