Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata pandangan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu khalwat bersifat peribadi.

Katanya, ia juga 'mencerminkan pandangan mufti itu sebagai seorang yang masih muda," katanya di sidang Dewan Negara hari ini.

Abdullah dihujani soalan daripada beberapa senator yang meminta penjelasan berhubung cadangan Mufti Perlis itu berkenaan isu khalwat yang disifatkan mereka sebagai suatu yang baru dan berbeza daripada pandangan biasa.

"Saya percaya kepada panel akidah saya, saya percaya kepada panel mufti saya. Dia orang muda...bagi dia bercakap. Saya hormati pandangan dia dan saya terbuka," katanya.

Menurut laporan Bernama, Mohd Asri sebelum ini dilaporkan berkata Majlis Agama Islam patut menghentikan intipan dan menahan orang yang berkhalwat di hotel berdasar kepada maklumat yang tidak jelas bagi mengelak kesilapan.

Cegah kemungkaran

Sebaliknya, kata beliau, Majlis Agama Islam patut menumpukan usaha pencegahan kemungkaran yang berlaku secara terang-terangan seperti minum arak dan berjudi.

Mengenai saranan seorang senator supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan garis panduan berkenaan aurat wanita, Abdullah berkata perkara itu tidak perlu dilakukan.

"Soal aurat cukup jelas dan tidak perlukan garis panduan. Saya rasa semua orang tahu aurat lelaki, aurat wanita sebab banyak dalam kitab-kitab," katanya.

Abdullah juga mengakui pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berkaitan khalwat kurang mantap dan perlu diperkemaskan.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan bermesyuarat dalam masa yang terdekat ini bagi membincangkan perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkenaan isu itu.

"Daripada segi undang-undang ia adalah baik tetapi masalah adalah dari segi prosedur pelaksanaan yang perlu dimantapkan," katanya di Dewan Negara semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2007 berkaitan hal ehwal agama Islam.