Timbalan Menteri Penerangan bantah gabungan Utusan-NSTP
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan penggabungan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan New Straits Times Press (NSTP) yang akan menyebabkan wujudnya monopoli berita dan maklumat.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan penggabungan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan New Straits Times Press (NSTP) yang akan menyebabkan wujudnya monopoli berita dan maklumat.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, kerjasama dalam operasi di belakang tabir sesebuah organisasi media lebih penting bagi meningkatkan kualiti berita dan penyampaian, bukannya penguasaan yang menimbulkan sistem monopoli.
Katanya, media cetak dan elektronik tidak harus dikuasai oleh sesebuah syarikat tertentu yang akan menyebabkan wujudnya monopoli terhadap berita dan maklumat.
Sehubungan itu, menurut laporan Bernama, beliau menolak sama sekali cadangan penggabungan Utusan-NSTP itu kerana kedua-dua akhbar itu mempunyai entiti berbeza.
"Sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, saya berpendapat persaingan sihat harus wujud antara semua media cetak dan elektronik di negara ini, sekali gus akan meningkatkan nilai berita dan komersial organisasi media itu sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, jika penggabungan dibuat, rating pembaca akan berkurangan kerana mereka terdiri daripada khalayak yang sama dan akan merugikan kedua-dua akhbar berkenaan.
Pulih semangat wartawan
"Soal pengiklanan dan penajaan juga akan berkurangan kepada syarikat berkenaan kerana pengiklan dan penaja menganggap ia berada dalam satu kumpulan yang sama," katanya.
Menurutnya, semangat dan moral wartawan di Utusan Malaysia perlu
dibangkitkan kembali supaya etika profesionalisme mereka tidak terganggu.
"Moral yang rendah di kalangan wartawan di Utusan harus ditingkatkan semula kerana saya bersimpati dengan editorial dan wartawan di Utusan yang merasakan kredibiliti dan semangat mereka dikecaikan dengan adanya percantuman ini," katanya.
Beliau juga menafikan usaha penggabungan dua akhbar itu adalah untuk menyelamatkan Utusan yang kononnya kekurangan modal dan mengalami kerugian.
"Daripada akaun setiap tahun memperlihatkan keuntungan Utusan di tahap yang boleh dipertahankan.
"Kalau perlu suntikan modal sekalipun dalam tempoh tiga tahun, saya fikir dengan beberapa penstrukturan semula dan usaha untuk tambah modal, ia dapat dijalankan bukan sahaja di kalangan pemegang saham yang ada sekarang tetapi boleh ditambahkan peratus suntikan itu daripada pihak awam," katanya.

