Suaram, AI kutuk langkah Msia usir pulang Heng Pov
Suaram dan Amnesty International (AI) Malaysia hari ini mengecam tindakan Jabatan Imigresen mengusir pulang bekas Ketua Polis Kamboja, Heng Pov yang melarikan diri dari negara nya kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
Suaram dan Amnesty International (AI) Malaysia hari ini mengecam tindakan Jabatan Imigresen mengusir pulang bekas Ketua Polis Kamboja, Heng Pov yang melarikan diri dari negara nya kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng berkata, pihaknya mengecam tindakan imigresen itu yang muungkin mengakibatkan Heng Pov berdepan dengan risiko diseksa dan dibunuh.
Katanya, tindakan Jabatan Imigresen itu jelas melanggar undang-undang lazim antarabangsa yang melindungi pelarian dan tidak diusir pulang sekiranya mereka menghadapi risiko pelanggaran hak asasi manusia yang serius.
Suaram, tegasnya, memandang berat keputusan luar biasa menghantar pulang Heng Pov ketika peguamnya sedang berusaha memulakan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan terdahulu Mahkamah Rayuan yang mengetepikan perintah pengusiran Heng Pov ke Singapura.
"Pertama, ia merupakan amalan biasa bagi peguam dalam kes-kes penting untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah ketika membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi.
"Oleh itu, timbul tandatanya mengapa Mahkamah Rayuan menafikan permohonan penangguhan (hukuman) dalam kes Heng Pov oleh peguamnya selepas mereka memutuskan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan," kata Yap dalam satu kenyataan hari ini
Kedua, katanya, mengapa timbalan pendakwaraya dari Pejabat Peguam Negara tidak tidak memaklumkan kepada Jabatan Imigresen mengenai rayuan tersebut dan menasihatkan jabatan berkenaan supaya menangguhkan penghantaran pulang Heng Pov sementara menunggu rayuannya didengar.
Undang-undang antarabangsa
Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan Jabatan Imigresen itu mencabuli proses kehakiman dan pelanggaran hak Heng Pov untuk rayuannya didengar (oleh mahkamah).
Di samping itu, beliau juga bingung dengan tindakan kerajaan Malaysia mengambil risiko melanggar undang-undang lazim antarabangsa yang melindungi pelarian dan membahayakan nyawa Heng Pov.
Sedangkan, katanya, Heng Pov boleh dihantar ke Singapura dan membolehkannya berlepas ke Finland yang telah menerima permohonannya untuk mendapatkan suaka di negara itu.
Tindakan tergesa-gesa menghantar Heng Pov pulang itu juga, tambahnya, menimbulkan persoalan sama ada wujud tekanan daripada kerajaan Kemboja terhadap kerajaan Malaysia untuk berbuat demikian, sehingga Jabatan Imigresen sanggup mengkesampingkan proses kehakiman dan undang-undang negara ini.
Yap juga menyifatkan kenyataan Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Datuk Ishak Mahmud bahawa kuasa muktamad untuk menghantar pengusiran di tangan jabatan tersebut dan pihak mahkamah tidak boleh campurtangan, adalah tidak wajar dan tidak profesional.
Oleh itu, beliau bimbangkan Jabatan Imigresen boleh menyalahgunakan kuasa tersebut dan bertindak mengatasi undang-undang jika Akta Imigresen tidak dipinda dan kuasa jabatan itu tidak dipantau.
Proses penghakiman
Malah, kata Yap, tindakan Malaysia mengusir pulang Heng Pov adalah memalukan dan bercanggah dengan imej negara ini sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Bagi mengelak insiden yang sama berulang, beliau menggesa kerajaan supaya mengesah dan melaksanakan Perjanjian Hak Sivil dan Politik dan Konvensyen Berkaitan Status Pelarian terhadap Seksaan dan Kekejaman Lain dan Hukumanyang Tidak Berperi Kemanusian.
Sementara itu, Pengarah Ekskutif AI Malaysia, Josef Roy Benedict pula berkata, pihaknya percaya setiap individu mempunyai hak mencari suaka dan hak melalui proses penghakiman.
"Artikel 14 Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) memperuntukan bahawa setiap individu mempunyai hak mendapatkan suaka bagi mengelak daripada penindasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang melindungi pelarian daripada diusir pulang bagi mengelak mereka dikejami di negara asal masing-masing.
Oleh itu, katanya AI Malaysia berpendapat bahawa hak untuk Heng Pov hidup perlu dihormati dan dia dibenarkan mencari suaka.
Lagi pula, kerajaan Finland telahpun menerima permohonan mendapatkan suaka, kata Benedict, sambil menambah tindakan kerajaan Malaysia itu, menunjukkan ia telah gagal menghormati proses suaka dan melanggar prinsip dan undang-undang lazim antarabangsa.

