Bekas menteri mahu kedudukan bahasa Melayu dipertahankan
Bahasa Melayu akan menjadi "bahasa untuk lulus peperiksaan sahaja" jika sistem pembelajaran masa kini terus membenarkan penggunaan bahasa lain untuk diajar dalam subjek tertentu di peringkat sekolah.
Bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Yakub yang bertanggungjawab mula melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970 berkata, bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa ilmu jika peranannya tidak dipertingkatkan.
"Saya tak setuju dan tetap berpegang bahawa bahasa pengantar utama tetap bahasa Melayu tetapi tak salah kita guna sedikit Bahasa Inggeris kerana Inggeris pun ada pinjam bahasa lain, ada Greek dan Arab," katanya di Kuching.
Abdul Rahman, 78 yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, mengambil contoh negara di Asia seperti China, Jepun dan Korea yang telah mencapai kemajuan dengan menggunakan bahasa ibunda sendiri.
"Kita ambil contoh China dan Jepun masing-masing maju dalam pelbagai bidang antaranya senjata dan teknologi malah lebih berjaya dari negara maju di barat kenapa kita tidak melihat kejayaan tersebut," katanya.
Menurut laporan Bernama, Abdul Rahman berkata, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dilakukan setelah kajian mendalam dilakukan berikutan perlunya mengangkat bahasa itu bukan hanya sebagai bahasa kebangsaan malah sebagai bahasa ilmu.
Beliau berkata, hasil daripada kajian mendalam tersebut, kabinet menteri persekutuan pada ketika itu bersetuju terhadap pelaksanaannya.
"Jika tidak mahu bahasa Melayu hilang peranan sebagai bahasa ilmu, kesemua subjek patut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar," tegas beliau.
"Semua subjek, kecuali subjek bahasa seperti Inggeris, Mandarin dan Arab, patut guna bahasa Melayu," katanya.
Ketika ditanya tanggapan bahawa pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menyebabkan ramai graduan dan lepasan universiti masa kini lemah penguasaan dalam bahasa Inggeris, beliau menafikan dakwaan tersebut.
Menurutnya graduan dan lepasan universiti patut meningkatkan kemampuan lisan dan bertutur dalam bahasa tersebut tanpa bergantung sepenuhnya dalam sistem pendidikan formal.

