Sistem yang digunakan polis bagi mengendalikan laporan polis pada masa ini mengalami gangguan teknikal di seluruh negara.
Ia dikatakan sebahagian proses naik taraf perkakasan dan perisian pangkalan data ke versi terkini.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman Shukri Abdullah berkata gangguan itu akan diselesaikan tidak lama lagi.
Dia juga memberi jaminan orang ramai masih boleh membuat laporan polis seperti biasa dalam tempoh ini.
"PDRM mempunyai mekanisme proses kerja secara manual bagi memastikan kesukaran mengakses IPRS (Integrated Police Reporting System) tidak menjejaskan penerimaan laporan polis.
"Orang ramai yang perlu membuat laporan polis masih boleh berurusan seperti biasa di mana-mana kaunter balai polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia menjawab mesej yang tersebar di media sosial yang mendakwa sistem itu telah mengalami gangguan selama beberapa hari, dan polis tidak dapat menerima laporan susulan isu itu.
Shukri berkata penaiktarafan itu dijalankan mengikut kontrak penyelenggaraan sistem, dan semua cawangan polis telah dimaklumkan mengenainya sebelum kerja dimulakan secara berperingkat pada 19 Mac.
"Memo dalaman berhubung kerja-kerja ini telah diedarkan kepada semua formasi PDRM pada 15 Mac 2022 agar persendirian diaturkan bagi sistem manual digunakan di mana-mana formasi yang mengalami kesukaran mengakses IPRS dalam tempoh penyelenggaraan tersebut.
"Proses menaik taraf pangkalan data ini adalah sepertimana yang telah ditetapkan di dalam kontrak penyelenggaraan sistem tersebut demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.
