Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama PRU: Saya ambil inisiatif lepas didatangi parti lain - Muhyiddin
Diterbitkan:  Apr 2, 2022 8:11 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata dia tidak memulakan usaha ke arah membentuk kerjasama politik yang baru, sebaliknya dia yang telah didekati oleh parti lain.

Kenyataan itu di saat dakwaan dia cuba mendapatkan Pejuang dan Warisan untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN).

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata dia didatangani pemimpin beberapa parti - termasuk Pejuang - selepas PRN Johor tamat.

Katanya, parti-parti politik itu berpandangan bahawa lebih baik agar parti di luar BN untuk bekerjasama dalam PRU15 untuk menentang gabungan itu.

“Mereka sedar majoriti rakyat tidak menyokong BNl yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi. Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah. 

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” katanya.

BN menang majoriti dua pertiga dalam kedua-dua PRN tersebut. Namun pada masa sama ia meraih kurang daripada 50 peratus undi popular.

Kata Muhyiddin lagi, selepas dia didekati pemimpin parti politik itu, dia mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang untuk “merintis hubungan kerjasama” dalam PRU akan datang.

Ia termasuklah pertemuan dengan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad, yang menurutnya diaturkan oleh seorang pemimpin kanan parti itu.

Terdahulu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Mahathir telah menghantar Khairuddin Salleh untuk mengaturkan pertemuan dengan Muhyiddin.

Menurut Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir pula, pertemuan itu berlangsung kira-kira dua minggu lalu.

Semalam, Mahathir mendakwa Muhyiddin cuba mendapatkan sokongannya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Bekas perdana menteri itu juga dilihat menolak kerjasama dengan Bersatu, dan menyifatkan Muhyiddin sebagai “menikam belakangnya” dan bukan perdana menteri yang bagus.

Namun anaknya, Mukhriz dilihat sanggup melupakan peristiwa lalu dan bekerjasama dengan parti lamanya itu.

Sementara itu, Presiden Warisan Shafie Apdal juga mendakwa telah dihubungi Muhyiddin berhubung kerjasama dalam PRU15.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim juga berkata dia ada bertemu Muhyiddin tetapi menafikan ada membincangkan tentang sokongan gabungan itu terhadap Muhyiddin.

 

Lihat Komen
ADS