Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada pertemuan, tapi tak timbul soal PH sokong Muhyiddin - Anwar

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengakui terdapat pertemuan antara dia dan pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun menurut presiden PKR itu mereka tidak pernah membincangkan tentang sokongan terhadap Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Bercakap kepada pemberita malam tadi, Anwar yang juga presiden PKR berkata dakwaan mengatakan Pakatan Harapan (PH) menyokong Muhyiddin dan PN tidak timbul.

“Pertemuan dibuat sudah lama, saya tidak boleh nafikan pertemuan itu, tetapi tidak timbul soal keputusan gabungan (PH) menyokong beliau, ia tidak timbul,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam. di Subang Jaya, yang dianjurkannya bagi menghargai veteran DAP Lim Kit Siang yang baru bersara daripada politik.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjawab soalan pemberita berhubung laporan berita bahawa kepimpinan PN memujuk Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri buat kali kedua.

Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas mengenai perkara itu dan mengatakan ia tidak melibatkan PH.

“Itu keputusan mereka, PH tak terlibat,” katanya.

Khamis lalu, Mahathir berkata Muhyiddin datang menemuinya untuk meminta sokongan bagi menjadi perdana menteri sekali lagi.

Mahathir bagaimanapunmenolak idea itu, dengan mengatakan Muhyiddin pernah menikamnya dari belakang atas apa yang dilakukannya kepada kerajaan PH dua tahun lalu.

Mahathir juga mengatakan Muhyiddin telah gagal sebagai perdana menteri.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai persaingan antara Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden PKR, Anwar menyatakan keyakinannya bahawa ia merupakan persaingan secara sihat.

Anwar berkata dia percaya pemilihan kali ini tidak mengulangi pemilihan pada 2018 apabila Rafizi bertanding jawatan itu menentang Azmin Ali, yang menyaksikan perpecahan dalam parti.

Lihat Komen
ADS