Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU antilompat akan dibentang pada sidang khas lain

Putrajaya hari ini memperbaharui ikrar untuk menggubal undang-undang yang bertujuan menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti.

Perkara itu dimaklumkan semasa pertemuan antara Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang lebih dikenali dalam kalangan politik sebagai "jawatankuasa MOU".

Dalam kenyataan bersama antara Wan Junaidi dan pengerusi jawatankuasa itu Saifuddin Nasution Ismail, kedua-dua mereka berkata pihak kerajaan dan Pakatan Harapan bersetuju untuk menyokong rang undang-undang pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan pada 11 April ini.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan itu melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baru berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

"Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas parlimen pada 11 April 2022," kata mereka.

"Sidang khas parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April 2022 akan diteruskan seperti yang dirancang untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022," kata kenyataan itu lagi.

Mengenai draf baru RUU antilompat parti itu, Wan Junaidi dan Saifuddin berkata "satu lagi sidang khas parlimen diadakan untuk membentang, membahas, dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat” yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Wan Junaidi dan ahli jawatankuasa MOU bermesyuarat di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Ini berikutan pengesahan menteri semalam bahawa kabinet mahukan perubahan kepada rang undang-undang anti lompat parti yang sepatutnya dibentangkan pada 11 April.

Semalam, Wan Junaidi dipetik The Star berkata rang undang-undang anti-lompat telah dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi "lompat parti".

Bagaimanapun, persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April ini akan diteruskan dengan memperkenalkan pindaan perlembagaan yang akan memudahkan pengenalan rang undang-undang baru.

Awal hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyoal jika penangguhan itu disebabkan "ada gunting dalam lipatan" yang mahu menggagalkan RUU itu.

Rang undang-undang itu didakwa menghadapi tentangan paling kuat daripada Bersatu manakala PAS dikatakan berpendirian "di atas pagar".

Sebelum ini, Pakatan Harapan memberi jaminan bahawa kesemua 90 ahli parlimennya akan menyokong rang undang-undang kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal undang-undang anti lompat parti.

Mengambil kira sokongan 90 ahli parlimen PH itu, kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hanya perlu menyampaikan 57 undi sahaja untuk memperoleh majoriti dua pertiga dan meluluskan rang undang-undang itu.

Lihat Komen
ADS