Razak Baginda gagal dapat perlanjutan jaminan
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, dihantar semula ke penjara hari ini setelah gagal mendapatkan perlanjutan jaminannya.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, dihantar semula ke penjara hari ini setelah gagal mendapatkan perlanjutan jaminannya.
Menurut laporan Bernama, Hakim Datuk K.N.Segara enggan menerima permohonan lisan untuk mendapatkan jaminan selain jaminan interim yang dikemukakan oleh peguamnya, Wong Kian Kheong dan mengarahkan Wong supaya memfailkan permohonan rasmi.
"Kemukakan permohonan rasmi. Tuduhan ini serius. Saya tidak berminat (untuk mendengar permohonan lisan bagi mendapatkan jaminan). Saya mahukannya dalam bentuk afidavit. Awak mempunyai masa lebih dari cukup untuk berbuat demikian.
"Saya sudahpun membuat keputusan, saya tidak akan melayan apa-apa lagi," kata Segara yang bertegas bahawa beliau akan meneruskan perbicaraan kes membabitkan seorang lelaki Iran yang berada dalam tahanan reman sejak 1999 dan beliau (Segara) meninggalkan mahkamah.
Pada tengah hari, Wong memfailkan permohonan rasmi untuk mendapatkan jaminan supaya Abdul Razak, 46, dibebaskan dari penjara sementara menunggu kesnya dibicarakan dan mahkamah menetapkan 19 Januari untuk mendengar permohonan itu.
Abdul Razak dihantar ke penjara Sungai Buloh dan akan berada di sana sehingga mahkamah memutuskan permohonanan rasmi jaminannya itu.
Abdul Razak, 46, sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM1 juta beserta dua penjamin tetapi jaminan itu tamat hari ini. Abdul Razak yang kelihatan terkejut dengan keputusan mahkamah kemudian dilihat berbincang dengan Wong.
40 saksi
Beliau turut memeluk isterinya Mazlinda Makhzan dan anak perempuan mereka, Roweena.
Abdul Razak didakwa melakukan perbuatan itu di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Oktober lalu dan dituduh mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah yang sama turut menetapkan empat minggu mulai 10 Mac tahun depan untuk perbicaraan. Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mempunyai antara 30 dan 40 saksi serta memerlukan antara sebulan dan enam minggu bagi menyiapkan kes mereka.
Sebelum itu, Segara membenarkan permohonan Salehuddin supaya kes Abdul Razak dibicarakan bersama dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman (UTK) yang menghadapi tuduhan membunuh Altantuya, 28.
C/Insp Azilah Hadri, 30, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt lepas.
Semasa menolak permohonan Wong untuk mendapatkan tarikh perbicaraan yang awal atas alasan kes itu mendapat publisiti meluas dan tanggapan negatif terhadap anak guamnya, Segara berkata: "saya tidak nampak sebarang keperluan atau perkara yang mendesak bagi menetapkan tarikh perbicaraan awal untuk kes ini."
Beliau membayangkan bahawa berikutan sifat publisiti yang diberikan di luar negara, telah memberikan gambaran bahawa mahkamah tidak bersedia untuk memberikan tarikh awal dan tanggapan itu perlu dikikis.
Kes tertunggak
Segara berkata mahkamah Shah Alam telahpun mewujudkan satu sistem bagi menguruskan kes tertunggak yang amat banyak apabila kes baru didaftarkan setiap hari dan purata 120 kes untuk dibicarakan di setiap mahkamah.
"Kami telahpun mewujudkan satu sistem di mana keadilan ditegakkan. Kesemua kes perbicaraan dalam mahkamah ini adalah kes tidak boleh dijamin jadi semua tertuduh berada dalam tahanan reman. Harus diingat bahawa apabila seseorang tertuduh menunggu untuk dibicarakan, sistem yang diwujudkan di sini adalah untuk berlaku adil.
"Oleh itu, mereka yang paling lama berada dalam tahanan reman perlu mendapat tarikh awal, itulah sistemnya melainkan terdapat kes tertentu yang membabitkan kanak-kanak maka kes itu yang akan mengatasi kes membabitkan tertuduh dalam tahanan reman," katanya.
Segara turut menyediakan daftar mahkamah bagi sesiapa yang ingin melihat jadual mahkamah yang menunjukkan mahkamah mempunyai kes baru dan kes tahun 2000 yang masih dibicarakan.
"Terdapat tertuduh yang berada dalam tahanan reman sejak 5 November 2002 dan dia hanya akan dibicarakan dari 3 hingga 7 Disember. Sekarang sudah lima tahun dan mahkamah baru sahaja mula (untuk mendengar kes)... bukan kerana mahkamah tidak mahu mendengar tetapi kami tidak boleh tergesa-gesa melakukan sesuatu, jika tidak, tiada apapun yang dapat diperoleh," katanya.
"Kami tidak mahu lakukan sesuatu untuk memuaskan hati orang ramai atau pihak media atau sesiapa sahaja. Kami hanya mahu kes itu dilaksanakan secara adil. Oleh itu, saya tidak nampak keperluan atau perkara yang perlu disegerakan untuk menetapkan tarikh awal bagi kes ini," katanya.
Tahanan reman
Segara juga berkata mahkamah itu malah mempunyai kes bertindih, sambil memberi contoh kes tidak boleh dijamin membabitkan lelaki Iran yang berada dalam tahanan reman sejak 19 November 1999. Kes itu, kata beliau, masih berjalan.
"Jadi saya mahu memberi semua orang peluang yang adil bagi mendapatkan tarikh perbicaraan awal. Ia di luar bidang kuasa mahkamah untuk membebaskan mereka (tertuduh dalam tahanan reman). Terpulang kepada Parlimen untuk memutuskannya. Bukan bidang kuasa mahkamah untuk membebaskan mereka hanya kerana mahkamah tidak dapat menetapkan tarikh perbicaraan yang awal," katanya.
"Saya harap media asing tidak akan memberikan pandangan negatif mengenai perkara ini di Malaysia. Publisiti bukanlah asas untuk memberikan tarikh perbicaraan yang awal. Saya tidak pernah mendengar mengenainya.
Hanya kerana publisiti, kes yang tidak mendapat liputan media tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja. Hanya kerana publisiti, anda tidak boleh menyegerakannya," katanya.
Segara turut memberitahu pasukan pembelaan dan pendakwaan supaya bersedia untuk perbicaraan dari hari ke hari (selepas selesai tempoh sebulan perbicaraan itu) dan memberikan jaminan mereka bahawa tidak akan berlaku sebarang gangguan dalam perbicaraan berkenaan.

