Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah bagi negeri Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua bagi perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri dan semua aktiviti pantai.

Menurut kenyataan akhbar jabatan itu yang dikeluarkan pagi ini, hujan sederhana lebat dijangka berlaku dari semasa ke semasa secara berterusan sehingga esok di kesemua negeri itu kecuali di Sabah.

Menurut laporan Bernama, di Sabah, hujan sederhana lebat dijangka berterusan sehingga Ahad ini terutamanya di bahagian Pantai Barat Sabah, Kudat dan di Sandakan, terutamanya di kawasan lembangan Sungai Kinabatangan.

"Angin kencang timur laut 50-60 kmsj dan laut bergelora dengan mecapai ombak ketinggian 5.5 meter yang sedang berlaku di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung dan ombak setinggi 4.5 meter di kawasan perairan Sarawak dan Sabah dijangka berterusan sehingga Jumaat ini," katanya.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga bagi Sarawak dan hujan sederhana yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Amaran ribut petir menyeluruh yang berlaku di perairan pantai Pahang, Johor Timur dan Laut Sulu, Sabah dijangka berterusan sehingga petang esok.