Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes SRC: Petisyen rayuan penuh 94 alasan Najib
Diterbitkan:  Apr 26, 2022 12:36 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, semalam, Najib, 68, mendakwa beliau terkilan dengan kesilapan serius dalam fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman masing-masing secara keseluruhan, dan kecuali yang dinyatakan dengan jelas, perayu berpendirian bahawa penemuan dalam keseluruhan alasan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) menunjukkan kesilapan yang serius.

Najib didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020. Sabitan dan hukuman ke atas Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman sementara menunggu penyelesaian rayuan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 11 April, Najib memohon lanjutan untuk memfailkan rayuan selewat-lewatnya pada 25 April dengan alasan peguamnya perlu meneliti sejumlah besar rekod untuk menyediakan petisyen rayuan yang lengkap.

Berikut disertakan alasan penuh petisyen rayuan itu.

Lihat Komen
ADS