Jawatankuasa pilihan khas parlimen bagi menimbang undang-undang menghalang wakil rakyat bertukar parti telah bermesyuarat tiga kali dan prestasi mereka adalah "sangat membanggakan", kata pengerusi jawatankuasa itu Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara dasar mengenai gubalan rang undang-undang ini.

"Namun, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini masih dalam proses untuk memuktamadkan rang undang-undang ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Wan Junaidi berkata jawatankuasa itu memutuskan bahawa ia akan mendapatkan pandangan bertulis daripada badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan pakar akademik berkaitan parameter gubalan rang undang-undang itu selaras dengan usul yang dikemukakan.

"Walau bagaimanapun jawatankuasa ini perlu memastikan kerahsiaan perbincangan dan dokumen yang diteliti perlu dijaga selaras dengan Peraturan 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Kenyataan Wan Junaidi tidak menyebut sama ada jawatankuasa itu akan memanggil saksi untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa secara peribadi, yang merupakan kebiasaan bagi jawatankuasa pilihan khas.

Di bawah Seksyen 16 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya boleh memanggil saksi.

Ini adalah kemas kini pertama daripada jawatankuasa itu sejak ia mula bersidang pada 15 April.

Awal hari ini, Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) menggesa jawatankuasa itu untuk mendedahkan tarikh mesyuarat mereka, keputusan penting, status rang undang-undang itu dan menamakan mereka yang akan mengemukakan pandangan kepada jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, Wan Junaidi, dalam kenyataannya hari ini, tidak mendedahkan tarikh mesyuarat akan datang.

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan pada 11 April semasa mesyuarat khas Dewan Rakyat sebagai pengganti rang undang-undang sebenar untuk menangani masalah pertukaran parti oleh ahli parlimen.

Pada 6 April, kabinet secara tiba-tiba memutuskan untuk tidak membentang rang undang-undang itu - mengeluarkan rang undang-undang yang telah diusahakan oleh pasukan Wan Junaidi selama berbulan-bulan dan menggantikannya dengan rang undang-undang yang telah dikurangkan dengan "klausa pemboleh" untuk undang-undang yang berasingan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuat perjanjian dengan Pakatan Harapan beberapa saat sebelum mesyuarat khas Dewan Rakyat, mengelak undian terhadap rang undang-undang baru itu - yang berkemungkinan telah dikalahkan - dan membentuk jawatankuasa pilihan baharu untuk mereka bentuk rang undang-undang yang lebih baik.

Undang-undang untuk menghalang ahli parlimen daripada lompat parti adalah asas perjanjian keyakinan-dan-perbekalan Ismail Sabri dengan PH.

Di bawah perjanjian itu, undang-undang itu sepatutnya telah diluluskan semasa persidangan pertama parlimen tahun ini. Tarikh akhir itu luput pada 24 Mac lalu