'Calon isytihar menang sebelum 29 Mei cuma andaian peribadi' - sumber
Mana-mana calon atau penyokongnya yang mendakwa bahawa telah memenangi dalam pemilihan PKR di peringkat kebangsaan atau cabang cuma andaian peribadi, kata sumber parti.
Menurut sumber terdekat dengan pucuk pimpinan PKR itu, sehingga kini tiada sesiapapun dalam parti mempunyai keputusan rasmi pemilihan PKR yang berakhir pada 22 Mei ini.
"Kita lihat beberapa calon telah pun menggelarkan dirinya sudah menang bagi jawatan ketua cabang dan sebagainya.
“Ia cuma andaian peribadi mereka. Bukan rasmi.
"Ini kerana tiada sesiapa termasuk Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR melihat atau mempunyai keputusan rasmi pemilihan PKR," katanya kepada Malaysiakini.
Sumber itu mengulas laporan media bahawa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari yang dijangka menang selesa dalam pemilihan PKR dalam merebut jawatan Ketua Cabang Gombak.
BH Online melaporkan Amirudin mendahului dengan memperoleh sekitar 2,250 undi berbanding pencabarnya bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang memperoleh hanya sekitar 800 undi.
Menjelaskan proses pemilihan kali ini, sumber itu memberitahu PKR menggunakan 'cloud system' yang dikendalikan dan dipantau di luar negara.
"Di bawah sistem ini, setiap undi akan dimasukkan 'cloud system' ini dan keputusan rasmi hanya boleh dimuat turun selepas tamat pemilihan bagi kesemua 222 cabang.
"Kita masih ada pemilihan semula sekurang-kurangnya lapan cabang. Selepas selesai pemilihan di semua lapan cabang, baru JPP akan muat turun keputusan rasmi dan akan dipaparkan di laman sesawang www.pemilihankeadilan2022.com dan aplikasi ADIL.
"Sehingga tamat pemilihan semula di lapan cabang tersebut, tidak sesiapa boleh akses ke dalam sistem ini," katanya.
Namun, sumber itu berkata calon-calon yang bertanding masih boleh menentukan pemenangnya dengan membuat pengiraan jumlah undi diperolehi.
"Calon-calon ini akan kira jumlah undi atas talian (PAT) dan undi fizikal yang diperolehinya.
"Seterusnya, mereka membandingkan dengan jumlah undi diperolehi oleh pencabarnya untuk menentukan pemenangnya," katanya.
Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan pemilihan PKR peringkat kebangsaan dan cabang akan diumumkan pada 29 Mei ini.
"Selaras dengan Pekeliling JPP Bil 01/2022 bertarikh 4hb Mac 2022, tarikh keputusan pemilihan peringkat, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Cabang telah dipinda berikutan pemilihan semula di beberapa cabang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor.
"Maka tarikh keputusan pemilihan peringkat MPP dan Cabang akan dipaparkan di laman sesawang www.pemilihankeadilan2022.com bermula pada 29hb Mei 2022," katanya pada satu pekeliling yang dikeluarkan semalam.
Lapan cabang tersebut melibatkan cabang Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

