Transparency International Malaysia (TI-M) memandang berat kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri DR Lim Keng Yaik bahawa perjanjian konsesi air dan akaun Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah diklasifikasikan di bawa Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berikutan itu, kata menteri berkenaan, dokumen tersebut tidak boleh diumumkan kecuali dengan kebenaran Kabinet.

Presiden TI-M, Tan Sri Dr Ramon V Navaratnam berkata, langkah mengklafikasikan maklumat tersebut sebagai "rahsia rasmi" adalah dianggap bercanggah dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan urustadbir yang baik.

"Konsesi berhubung isu yang amat penting kepada kepentingan awam yang mempunyai kesan langsung terhadap wang rakyat dan pembayar cukai serta kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, TI-M mendesak kerajaan supaya menjelaskan mengapa maklumat seperti itu dianggap sebagai "rahsia rasmi" dan justifikasinya berbuat demikian.

Gesa kaji semula

Demi kepentingan ketelusan, urustadbir yang baik serta akauntabiliti, kata TI-M menggesa kerajaan supaya segera mengkaji semula perkara tersebut.

TI-M juga, katanya menggesa kerajaan supaya menimbang untuk mengumumkan dokumen-dokumen penting seumpama itu untuk semakan dan penilaian umum.

Kerajaan, kata Navaratnam, mesti komited untuk mendukung ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perolehan awam.

Ini, katanya, termasuk maklumat mengenai pengswastaan dan perjanjian konsesi.

"Komitmen ini mersti diamalkan secara sepenuhnya, tanpa sebarang pengecualian," tambahnya.