Ismail belum bertemu Zuraida
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob belum bertemu dengan Zuraida Kamaruddin bagi membincangkan kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.
“Saya dimaklumkan dia masih bercuti, jadi saya belum berjumpa lagi dengan dia… insya-Allah, sebaik sahaja dia dah jumpa saya dan akan berbincang, selepas itu saya akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-48 Barisan Nasional di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri juga berkata peletakan jawatan Zuraida tidak mempunyai kaitan dengan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet.
“Tiada kena-mengena dengan rombakan Kabinet, dia umum dulu tapi saya tidak tahu apa berlaku lepas ini… Dia cuma berhenti daripada Bersatu, dia tak berhenti daripada Kabinet.
“Ia berbeza dan dari segi jawatan dalam Kabinet, dia perlu bincang dengan saya,” kata perdana menteri.
Pada 26 Mei lepas, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengumumkan keputusan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia dan akan berjumpa dengan Ismail Sabri bagi membincangkan kedudukan beliau dalam Kabinet.
- Bernama

