Transparency International Malaysia (TIM) menyarankan kepada kerajaan supaya menimbang mengadakan pungutan suara atau perundingan awam untuk mendapatkan maklumbalas sebanyak mungkin sebelum memutuskan untuk menubuhkan tabung bagi melindungi pekerja yang hilang kerja.

Presidennya, Tan Sri Tan Sri (Dr) Ramon V Navaratnam berkata, pungutan suara atau perundingan awam itu akan dapat memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua pihak terbabit bagi mendapatkan maklumat, penjelasan dan menyalurkan pandangan mereka.

Sehubungan itu, katanya, TIM berkongsi kebimbangan dan kekecewaan yang disuarakan oleh Persekutuan Pekilang Malaysia dalam kenyataannya, bahawa pihak terbabit tidak dipanggil untuk perbincangan mengenai cadangan menubuhkan tabung tersebut.

"Cadangan untuk menubuhkan tabung tersebut mempunyai implikasi yang besar terhadap semua sektor ekonomi, serta terhadap para majikan dan pekerja di mana kedua-duanya dijangka turut menyumbang kepada tabung seperti Perkeso dan KWSP.

"Semua pihak terbabit perlu diberikan maklumat dan ruang untuk berbincang bagi menyuarakan pandangan dan perhatian mereka," kata Navaratnam dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, TIM berpendapat, perbincangan mengenai instrumen sosial yang penting seumpama itu tidak seharusnya dihad kepada kumpulan terpilih sahaja.

Buka ruang perbincangan

Menurutnya, kerajaan seharusnya menimbang untuk mengadakan pungutan suara atu perundingan awam bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumbalas mengenai cadangan itu.

"Pungutan suara atau perundiangan awam itu akan dapat memastikan pandangan banyak pihak diperolehi.

"Sehubungan itu, kerajaan mesti sentiasa memastikan semua ruang perbincangan mengenai isu-isu penting yang memberi kesan kepada majikan dan pekerja membabitkan semua sektor utama yang menyediakan pekerjaan di negara ini dan tidak dihadkan kepada Majlis Penasihat Buruh Negara sahaja," katanya.

Navaratnam berkata, tanpa perundangan dan ketelusan yang luas, ia tidak akan mendapat sokongan secukupnya daripada semua pihak terbabit, dan boleh hilang keyakinan di kalangan para pelabur.

"Keadaan ini boleh menimbulkan implikasi yang tidak baik terhadap ekonomi dan masalah pelaksanaannya," tambah beliau.