Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ketiadaan Syamsul di tayangan perdana Mat Kilau jadi tanda tanya

Selepas tiga tahun pembikinan, akhirnya malam tadi berlangsungnya tayangan perdana filem dinanti-nantikan, Mat Kilau arahan pengarah Syamsul Yusof.

Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Siti Hasmah Mohamad Ali.

Terapi, apa yang janggal, tiada kelibat Syamsul, 38, di majlis yang dihadiri oleh ratusan tetamu dan media itu.

Kesemua pelakon utama filem berkenaan iaitu Adi Putra, Fattah Amin, Beto Kusyairi, Johan Ashaari, termasuklah pelakon dari seberang iaitu Yayan Ruhian hadir pada malam itu.

Turut hadir ialah bapa kepada Syamsul iaitu Yusof Haslam yang meluahkan rasa bangga dengan hasil kerja anaknya.

“Saya harap dia datang pada malam ini. Penerbit juga mesti harap dia datang. Ini filem dia. Sebagai ayah saya sentiasa doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual media.

Bagaimanapun, kelibat pengarah Munafik itu tidak kelihatan hingga tamat tayangan. Majlis sidang media diteruskan hanya bersama penerbit dan para pelakon yang terlibat.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan kenyataan Ysuof yang enggan mencampuri kontroversi berkaitan anaknya yang dikatakan bakal berkahwin lagi.

Difahamkan ini bukan kali pertama pengarah muda itu tidak hadir ke majlis berkaitan dengan dirinya setelah diheret dalam kancah kontroversi.

Berkenaan ketiadaannya di acara semalam, penerbit secara ringkas memaklumkan bahawa Syamsul tidak sihat.

Semakan Malaysiakini pagi ini mendapati Syamsul aktif memuat naik hantaran berhubung dialog Mat Kilau di media sosial.

Dia juga membangkitkan kemungkinan ada pihak kurang senang dengan penghasilan dialog filem tersebut.

“Saya tahu akan ada segelintir penonton Melayu khususnya yang bakal kurang senang dengan beberapa dialog dan babak filem ni nanti.

“Memang sengaja saya persembahan sedemikian kerana itulah hakikat sebenar dan semangat perpaduan Melayu yang kian pudar hingga ke hari ini.

“Saya berharap semoga filem ini memberi manfaat pada kita semua insya-Allah,” katanya.

Mat Kilau bakal menjengah layar perak tanah air mulai 23 Jun ini.

Tidak berapa lama selepas perkongsian mengenai dialog Mat Kilau itu, Syamsul menjelaskan ketidakhadirannya bukan disebabkan ingin mengelak daripada media berhubung kontroversi yang melanda rumah tangganya ketika ini.

“Aku tak menyoroklah sial…,” tulisnya merujuk kepada sebuah artikel mengenainya yang disiarkan dalam sebuah portal.

Lihat Komen
ADS