Pak Lah terus tadbir negara selepas praya akan datang
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan terus mentadbir kerajaan Malaysia selaku Perdana Menteri kerana masih banyak tugas yang perlu dilaksanakan.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan terus mentadbir kerajaan Malaysia selaku Perdana Menteri kerana masih banyak tugas yang perlu dilaksanakan.
Ketika ditanya dalam satu temubual oleh BBC di London hari ini sama ada beliau masih "berselera untuk bekerja" dan akan bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang, Abdullah berkata : "Saya rasa begitulah. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan."
Menurut Bernama, temubual dalam edisi khas rancangan Asia Today itu dikendalikan oleh Zeinab Badawi di Dorchester Hotel, tempat Perdana Menteri menginap sebelum berlepas ke Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Sedunia di Davos.
Mengenai hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sering mengkritik kerajaan pimpinannya, Abdullah berkata bekas Perdana Menteri itu berhak untuk bersuara.
"Saya mempunyai sebuah kerajaan untuk diuruskan. Saya perlu lakukan apa yang saya fikir wajar dilakukan. Ekonomi kini lebih baik dan Rancangan Malaysia Kesembilan telahpun dilancarkan dan ia mulai rancak.
Berkongsi kuasa
"Mungkin kerana kami agak perlahan sedikit menyebabkan beliau tidak sabar," katanya.
Beliau juga berkata Malaysia mengamalkan ajaran Islam yang sederhana dengan tidak meminggirkan penduduk bukan Islam, sebaliknya mereka juga berkongsi kuasa dalam kerajaan dan bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Ditanya mengenai golongan ekstrem Islam yang kini menjadi agenda global, Abdullah berkata usaha perlu dijalankan supaya Islam lebih difahami.
"Kita hendaklah buktikan bahawa Islam bukannya menentang pemodenan dan membuktikan bahawa Islam itu masih relevan," katanya.
Abdullah berkata Islam tidak bertolak ansur dalam soal keganasan.
Katanya Islam Hadhari, yang dipeloporinya dalam usaha bagi menunjukkan bahawa ia satu agama syumul dan progresif, diterima baik oleh orang ramai termasuk di Barat.

