Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SEMAK FAKTA | Benarkah Dr M minta Zahid bubar Umno?
Diterbitkan:  Jul 1, 2022 9:33 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

SEMAK FAKTA | Pada 28 Jun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika memberi keterangan di mahkamah berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memintanya membubarkan Umno.

Zahid berkata permintaan itu dibuat dalam satu pertemuan pada Jun 2018, iaitu kira-kira sebulan selepas PH menang PRU14.

Zahid berkata demikian dalam hujahnya bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Susulan itu, Mahathir menggesa Zahid untuk membuktikan dakwaan tersebut.

Malaysiakini meneliti sejumlah kenyataan yang dibuat Mahathir dan Zahid berkaitan Umno pada 2018, dan jika Mahathir benar-benar meminta Zahid membubarkan parti Melayu tertua itu.

Jawapan pendek: Mahathir seara terbuka mengakui meminta Zahid membubarkan Umno dan mencadangkan ahli parti itu untuk menyertai Bersatu.

Selaku pemangku presiden Umno ketika itu, Zahid bertemu dengan Mahathir - ketika itu perdana menteri - di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 7 Jun 2018. Pada bulan sama dia menang pemilihan untuk menjadi presiden.

Menjelang 20 Oktober 2018, Zahid dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Seminggu kemudian, dia hadir ke perhimpunan agung Umno. Ketika itu, dia mendedahkan yang Mahathir memintanya untuk membubarkan Umno.

Dr M: Umno hilang prinsip perjuangan

Mahathir kemudian memberikan responsnya dalam satu video yang dimuat naik Facebook Bersatu pada 9 November 2018.

"Saya suruh dia bubarkan pasal Umno sudah tiada lagi. Secara benar sudah tidak ada Umno, cuma suatu badan yang berdaftar. Tapi prinsip perjuangannya sudah tidak ada.

"Apa perlunya ahli-ahli Umno ini kekal di dalam parti yang sudah tinggal perjuangannya mengutamakan duit. Cash is king.

"Sebab itu Umno yang semacam itu perlu dibubar," katanya ketika itu.

Selepas pendakwaan jenayah terhadap Zahid, beberapa ahli parlimen Umno bertindak untuk keluar parti. Ia mencetuskan keraguan terhadap kepimpinan bekas timbalan perdana menteri itu.

Dengan tekanan yang kian meningkat, Zahid mengambil cuti sebagai presiden pada 19 Disember 2018. Timbalannya Mohamad Hasan menjadi pemangku presiden. Zahid kembali memimpin Umno pada 30 Jun 2019.

Sebelum ini Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa ketika dia menjadi perdana menteri, Zahid datang bertemunya dengan membawa ‘fail bertimbun’ dan memintanya campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapi.

Zahid menafikan dakwaan itu dan memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS