Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Zahid bawa fail bertimbun, dia kata Tan Sri tolonglah...'
Diterbitkan:  Feb 17, 2022 1:03 PM
Dikemaskini: Apr 6, 2022 12:14 PM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendakwa Ahmad Zahid Hamidi pernah bertemunya untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapi presiden Umno itu.

Muhyiddin berkata Ahmad Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai perdana menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’.

“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan)," kata Presiden Bersatu itu semasa ceramah di Tangkak, Johor malam tadi.

Muhyiddin berkata dia memberitahu Zahid bahawa jika ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak bersalah, dia perlu melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengulangi dakwaannya bahawa Najib Razak ada meminta campur tangannya untuk menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Katanya, permintaan itu dibuat ketika Najib datang melawat di pejabatnya untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai perdana menteri.

“‘Bosku’ datang ke pejabat saya beri penghormatan sebagai perdana menteri, dalam cerita punya cerita, dia cerita juga kes mahkamah.

“Kalau boleh minta saya keluarkan (Datuk Seri Gopal) Sri Ram. Mana boleh, saya tidak akan buat macam itu.

“Akhirnya dalam tempoh beberapa bulan kedudukan kerajaan yang awal-awal ok dah jadi macam tak berapa ok, bergoyang-goyang,” katanya.

Najib sebelum ini menafikan ada meminta campur tangan Muhyiddin dan mengancam mahu menyaman bekas perdana menteri itu.

ADS